UAE keluar OPEC: ASEAN berdepan risiko kenaikan harga minyak

Ketua Ekonomi Asia Oxford Economics, Louise Loo

KUALA LUMPUR, 29 April– Keputusan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menarik diri daripada Pertubuhan Negara Pengeluar Petroleum (OPEC) dijangka mencetuskan ketidaktentuan harga minyak global, sekali gus memberi impak langsung kepada negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keluar pemain utama dari gabungan meningkatkan ketidaktentuan pasaran minyak dan mempersulit peramalan bekalan jangka masa depan.
  • ASEAN sangat terdedah kepada bekalan dari Teluk, berkemungkinan menyebabkan kenaikan harga yang memberi tekanan kepada kos operasi dan perbelanjaan isi rumah.
  • Perubahan boleh memberi manfaat kepada negara pengeksport komoditi dan menggesa isi rumah mengurus penggunaan tenaga untuk membina daya tahan.

Ketua Ekonomi Asia Oxford Economics, Louise Loo berkata langkah itu bukan sesuatu yang mengejutkan, namun ia mencerminkan landskap tenaga global yang semakin tidak menentu, memandangkan OPEC selama ini memainkan peranan penting dalam menstabilkan bekalan.

“Apabila pemain utama keluar daripada gabungan ini, pasaran minyak akan menjadi lebih tidak menentu dan persekitaran masa hadapan juga semakin sukar diramal.”

“Perkara ini memberi impak besar kepada ASEAN kerana kita sangat terdedah kepada bekalan minyak dari rantau Teluk, yang akhirnya akan menyebabkan kenaikan harga,” kata Loo kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Meja Bulat Tertutup SEAFIC-ASEAN di ibu negara, anjuran Southeast Asia Future Institute Centre yang dipengerusikan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tambahnya, kebergantungan tinggi ASEAN terhadap sumber tenaga dari Teluk menyebabkan kenaikan harga minyak kini mula memberi tekanan terhadap kos operasi perniagaan serta perbelanjaan isi rumah.

Impak ekonomi berkenaan dijangka berlarutan dalam tempoh dua hingga tiga suku tahun akan datang.

Walaupun berdepan risiko, perubahan itu berpotensi memberi manfaat kepada negara pengeksport minyak dan komoditi seperti Malaysia, selain menggesa isi rumah agar lebih bersedia dalam mengurus penggunaan tenaga.

“Apabila isi rumah di Malaysia mengubah cara penggunaan tenaga dan perbelanjaan, mereka sebenarnya membina daya tahan yang lebih kukuh sebelum mendepani sebarang krisis akan datang,” jelasnya.