Bancian kerosakan ribut di Pendang sedang dilaksana

Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Mohd Ridzuan Ab Ghapar

PENDANG, 29 April – Bancian berkaitan kerosakan sekolah dan rumah penduduk yang terlibat dalamkejadian ribut di Pendang, Kedah sedang dilakukan oleh jabatan dan agensi berkaitan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah salurkan lebih RM38,000 kepada 192 ketua isi rumah sebagai bantuan segera.
  • Timbalan Pengarah Mohd Ridzuan berkata sumbangan ihsan bertujuan meringankan beban dan akan diikuti bantuan susulan mengikut keperluan.
  • Ribut menyebabkan kerosakan termasuk Maktab Rendah Sains MARA Pendang, Sekolah Kebangsaan Haji Mohamad Ariff dan 11 sekolah di tiga daerah.

Pada masa sama, Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri telah menyalurkan bantuan segera berupa wang tunai keseluruhan berjumlah lebih RM38,000 kepada 192 ketua isi rumah terlibat.

Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, sumbangan ihsan bertujuan membantu meringankan beban penduduk terjejas.

“Kita menyampaikan sumbangan ihsan untuk sedikit sebanyak membantu meringankan beban dan kita akan tengok dari segi keperluan lain, bantuan susulan yang diperlukan oleh pihak penduduk..

“Maknanya dari segi kerosakan dan sebagainya kita akan susuli dengan pihak agensi, jabatan yang berkaitan”, katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas meninjau kerosakan dan menyerahkan sumbangan kepada beberapa penduduk terjejas ribut di beberapa buah kampung sekitar Mukim Air Puteh, Pendang.

Selain rumah, beliau turut meninjau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pendang dan Sekolah Kebangsaan Haji Mohamad Ariff yang turut mengalami kerosakan dalam kejadian ribut itu.

Ribut serta angin kencang yang berlaku pada petang Isnin lalu turut menyebabkan 11 sekolah di tiga daerah di negeri itu dilaporkan terjejas.

Ia melibatkan enam sekolah di daerah Pendang, empat sekolah di daerah Kulim/Bandar Baharu serta satu sekolah di daerah Kota Setar.