Hina Sultan Selangor: Pihak berkuasa digesa ambil tindakan tegas

Foto Sahabat Penggerak Madani Negeri Selangor

SHAH ALAM, 29 April – Penyebaran karikatur menghina Sultan Selangor disifatkan sebagai perbuatan biadap yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat majmuk dan merosakkan kestabilan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Institusi kesultanan simbol perpaduan dan penjaga kesucian agama serta kepentingan rakyat; wajar dihormati.
  • Kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghina atau memperlekehkan institusi; tindakan sedemikian boleh mencetuskan ketegangan sosial.
  • Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan segera dan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang.
  • Rakyat diseru menjunjung institusi diraja, amal adab di media sosial dan jangan sebarkan kandungan berunsur kebencian.

Penyelaras Sahabat Penggerak Madani Negeri Selangor Megat Mohd Azlan Md Arshad berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu jelas mencabar nilai kesopanan serta institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi tunjang kedaulatan negara.

Beliau menegaskan bahawa institusi kesultanan bukan sahaja simbol perpaduan, malah memainkan peranan penting dalam menjaga kesucian agama Islam serta kepentingan rakyat secara menyeluruh.

“Kami menegaskan bahawa kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk menghina atau memperlekehkan mana-mana pihak, apatah lagi institusi diraja yang dihormati.

“Tindakan sedemikian boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Megat Mohd Azlan menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan segera dan menyeluruh terhadap individu atau pihak yang terlibat dalam penghasilan kandungan tersebut.

Beliau berkata, tindakan tegas berlandaskan undang-undang sedia ada perlu diambil tanpa sebarang kompromi bagi memastikan perkara seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menjunjung tinggi institusi diraja selaras dengan prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, selain mengamalkan adab serta tanggungjawab dalam penggunaan media sosial.

“Jangan menyebarkan kandungan yang boleh menimbulkan kebencian dan penghinaan demi memelihara kedaulatan undang-undang serta kesejahteraan bersama,” tambahnya.