
KUALA LUMPUR, 29 April -Inflasi Malaysia mereda kepada 1.4 peratus pada 2025, berbanding 1.8 peratus pada tahun sebelumnya.
- Pengukuhan ringgit, perbelanjaan isi rumah kukuh dan inisiatif subsidi petrol RON95 menyokong tekanan inflasi.
- Kadar inflasi kekal dalam julat unjuran Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan antara 1.0 hingga 2.0 peratus.
- Beberapa kumpulan naik tinggi: penjagaan diri (4.4%), insurans (3.4%), restoran (3.2%); maklumat dan komunikasi turun kepada -4.3%.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan berkata, kadar itu disokong oleh pengukuhan mata wang ringgit, perbelanjaan isi rumah yang kukuh serta inisiatif kerajaan untuk menyalurkan subsidi petrol RON95 kepada rakyat Malaysia.
Menurutnya, kadar itu juga berada dalam julat unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan iaitu antara 1.0 hingga 2.0 peratus bagi tahun 2025.
“Inflasi Malaysia disumbangkan oleh kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain sebanyak 1.6 peratus, diikuti kesihatan (1.2 peratus), rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.1 peratus), serta pengangkutan (0.4 peratus).
“Namun begitu, beberapa kumpulan mencatatkan kenaikan lebih tinggi, antaranya penjagaan diri, perlindungan sosial serta pelbagai barangan dan perkhidmatan pada 4.4 peratus, diikuti insurans dan perkhidmatan kewangan (3.4 peratus), serta restoran dan perkhidmatan penginapan (3.2 peratus),” katanya.
Bagaimanapun, kumpulan maklumat dan komunikasi serta pakaian dan kasut masing-masing mencatatkan penurunan kepada negatif 4.3 peratus dan negatif 0.2 peratus pada tahun 2025.
“Inflasi tertinggi sepanjang tahun 2025 direkodkan pada Januari iaitu 1.7 peratus, sebelum menyederhana kepada 1.1 peratus pada Jun 2025.
Ia dipengaruhi oleh trend penurunan kadar inflasi makanan dan minuman serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain,” katanya lagi.
Di peringkat negeri, Johor mencatatkan inflasi tertinggi iaitu 2.0 peratus, diikuti Selangor dan Negeri Sembilan masing-masing 1.7 peratus, manakala Kelantan merekodkan kadar terendah iaitu 0.3 peratus.
Sementara itu, bagi perbandingan serantau, kadar inflasi Malaysia berada pada tahap sederhana di ASEAN, dengan Laos mencatatkan kadar tertinggi iaitu 7.7 peratus, manakala Brunei mencatatkan negatif 0.3 peratus.