NESP, teras baharu pertumbuhan ekonomi negara

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah/RTM

KUALA LUMPUR, 29 April -Pelaksanaan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Negara (NESP) bakal menjadi teras baharu dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara lebih mampan, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkasa penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
  • Menggalakkan penggunaan bahan mesra alam dan pengurusan sisa cekap untuk operasi perniagaan yang lebih mampan.
  • Peralihan ke 'Made by Malaysia' untuk nilai tambah, pembangunan harta intelek, perkhidmatan khusus dan meningkatkan daya saing global.

Kerajaan menegaskan bahawa penerapan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) perlu diperkasa dalam kalangan perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ini termasuk melalui penggunaan bahan mesra alam serta pengurusan sisa yang lebih cekap dalam operasi.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah, berkata peralihan kepada ‘Made by Malaysia’ membolehkan syarikat tempatan mencipta nilai lebih tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab inovasi serantau.

“Kita kini sedang mengubah hala tuju ekonomi negara daripada “Made in Malaysia” kepada “Made by Malaysia”. Matlamatnya adalah untuk beralih daripada hanya menjadi tempat pengeluaran kepada menjadi peneraju dalam inovasi serta memiliki jenama sendiri di peringkat global “, katanya pada majlis pelancaran pusat servis kenderaan Jacar, di sini.

Langkah itu membuka peluang kepada syarikat tempatan supaya berkembang dalam segmen bernilai tinggi melalui pembangunan harta intelek serta model perkhidmatan khusus.

Ia sekali gus menyokong aspirasi negara menjadi ekonomi bertaraf dunia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).