TPM Zahid sokong Bahagian Penguat Kuasa KPDN dinaik taraf kepada jabatan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/ BERNAMA

CYBERJAYA, 28 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongan agar Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dinaik taraf kepada jabatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cadangan menaik taraf Bahagian Penguat Kuasa kepada Jabatan Penguat Kuasa.
  • Langkah bertujuan memperkukuh keupayaan menangani isu kepengunaan dan penguatkuasaan kompleks.
  • Kenaikan tanggungjawab memerlukan struktur, sumber manusia dan keupayaan operasi yang setara.
  • Cadangan akan dibawa ke Kabinet oleh Datuk Armizan dan dokongan akan diberikan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau berkata, inisiatif itu bagi memperkukuh keupayaan institusi itu dalam menangani isu kepenggunaan dan penguatkuasaan yang semakin kompleks.

“Telah sampai masanya Bahagian Penguat Kuasa ini dinaik taraf kepada Jabatan Penguat Kuasa. Datuk Armizan bawa ke Kabinet, saya akan memberikan dokongan terhadap cadangan ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri nanti.

“Sebab saya tahu peranan saudara saudari bukan kecil, isu kepenggunaan, perdagangan domestik dan penyeludupan rentas sempadan ini semua menjadi masalah,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54 dan Pelancaran Dasar Pengguna 2.0 di Cyberjaya.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata pasukan penguat kuasa sering menjadi barisan hadapan yang dirujuk oleh kerajaan dan masyarakat sekiranya berlaku isu berkaitan kepenggunaan dan perdagangan.

Sehubungan itu, peningkatan tanggungjawab yang semakin besar itu memerlukan kekuatan organisasi yang setara dari segi struktur, sumber manusia dan keupayaan operasi.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Timbalannya Datuk Dr Fuziah Salleh serta Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam.