Bandar beretika: Bila pembangunan bukan sekadar bangunan, tetapi kerana manusia

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembangunan bandar mesti meletakkan manusia sebagai fokus, menitikberatkan kesejahteraan, keselamatan, pendidikan dan kehidupan sosial yang bermakna.
  • Pendekatan Maqasid al-Shariah (agama, nyawa, akal, keluarga, harta) memberi kerangka etika untuk menilai kualiti bandar secara menyeluruh.
  • Perancangan berasaskan nilai perlu memastikan keseimbangan antara kelestarian, peluang ekonomi, keadilan sosial dan identiti budaya bagi kualiti hidup yang adil.

Dalam arus pembangunan hari ini, bandar sering diukur dari aspek angka, ketinggian sesebuah bangunan, berapa banyak pelaburan yang masuk dan sejauh mana ia terus berkembang.

Namun, semakin pesat sesebuah bandar itu membangun, semakin penting untuk kita bertanya: Adakah pembangunan ini benar-benar memberi manfaat kepada manusia secara menyeluruh? Atau sekadar hanya kepentingan kepada kemenjadian sesebuah bandar secara fizikal?

Hakikatnya, bandar bukanlah sekadar ruang fizikal semata-mata. Bandar adalah tempat dimana manusia membina kehidupan, mencari punca rezeki, membesar, berinteraksi dan mencari makna.

Justeru, pembangunan bandar tidak boleh hanya dilihat dari sudut ekonomi atau infrastruktur sahaja, tetapi perlu mengambil kira dimensi yang lebih bermakna seperti etika dan kesejahteraan, khususnya kepada mereka yang mendiami bandar tersebut.

Dalam konteks ini, pendekatan Maqasid al-Shariah menawarkan satu perspektif yang menarik. Ia menekankan lima perkara asas yang perlu dipelihara dalam kehidupan manusia iaitu agama, nyawa, akal, keluarga dan harta.

Jika dilihat secara lebih luas, lima prinsip ini sebenarnya sangat relevan dalam menilai kualiti sesebuah bandar dalam menjadikan bandar itu lebih beretika.

Sebagai contoh, aspek menjaga nyawa bukan hanya berkaitan dengan keselamatan jenayah, tetapi juga melibatkan kesihatan awam, akses kepada ruang hijau dan persekitaran yang selamat.

Begitu juga dengan pemeliharaan akal, yang boleh diterjemahkan melalui akses kepada pendidikan, budaya dan ruang intelektual dalam bandar.

Pemeliharaan keluarga pula boleh dilihat melalui kewujudan ruang komuniti yang mesra keluarga, kemudahan awam yang selesa serta persekitaran yang menyokong kehidupan sosial yang sihat.

Sementara itu, aspek harta berkait rapat dengan peluang ekonomi dan kemampuan rakyat untuk memiliki tempat tinggal yang sesuai.

Apa yang menarik, pendekatan ini tidak melihat pembangunan sebagai satu dimensi tunggal, tetapi sebagai keseimbangan antara pelbagai keperluan manusia.

Ia mengingatkan kita bahawa bandar yang baik bukan hanya yang maju dari segi fizikal, tetapi juga adil, inklusif serta menyokong kesejahteraan dan kebersamaan dalam sesebuah masyarakat.

Dari pemerhatian semasa, kita dapat melihat usaha ke arah ini sudah pun wujud. Perancangan bandar yang lebih tersusun, pembangunan ruang hijau, kemudahan awam yang semakin baik dan usaha memperkukuh identiti budaya menunjukkan bahawa aspek kesejahteraan semakin diberi perhatian.

Namun begitu, cabaran tetap ada. Pertumbuhan pesat kadangkala menuntut keseimbangan yang teliti antara pembangunan dan kelestarian, peluang ekonomi dan keadilan sosial, serta kemajuan fizikal dan kesejahteraan emosi masyarakat.

Kesemua aspek ini perlu diberikan perhatian yang khusus serta pendekatan yang menyeluruh. Di sinilah pentingnya pendekatan berasaskan nilai dalam perancangan bandar yang dapat dilihat melalui pendekatan Maqasid al-Shariah.

Dengan meletakkan manusia sebagai fokus utama, setiap keputusan pembangunan boleh dinilai bukan hanya berdasarkan keuntungan, tetapi juga melalui etika dan impaknya terhadap kehidupan seharian rakyat.

Malah, ke hadapan, tidak mustahil untuk kita membangunkan satu kerangka penilaian bandar yang lebih menyeluruh yang bukan sahaja mengukur kemajuan ekonomi, tetapi juga kesejahteraan, keadilan dan kualiti hidup yang lebih beretika sesame manusia di bandar.

Akhirnya, bandar yang benar-benar berjaya bukanlah yang paling moden atau paling besar, tetapi yang memberi perhatian kepada manusia yang mendiami ruang itu untuk hidup dengan selamat, berfikir dengan bebas, membina keluarga dan menikmati hasil usaha dengan adil dan sejahtera.

Kerana dalam setiap pelan pembangunan, yang paling utama bukanlah bangunan yang didirikan, tetapi kehidupan yang lebih beretika yang dibentuk di dalamnya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Mohd Fadhli Shah Khaidzir
Pusat Pengajian Citra
Universiti Kebangsaan Malaysia


Ts. Dr Ahmad Firdhaus Arham
Pusat Pengajian Citra & Institut Islam Hadhari
Universiti Kebangsaan Malaysia