
SHAH ALAM, 26 April – Atlas Copco memperkukuh operasinya di Malaysia dengan pembukaan hab bersepadu baharu di Alam Impian yang berfungsi sebagai pusat operasi serantau bagi Asia Tenggara.
- Pelaburan melebihi RM10 juta bagi fasiliti kira-kira 12,000 meter persegi menempatkan jualan, sokongan teknikal, logistik dan perkhidmatan kewangan serantau.
- Hab menyelaraskan operasi negeri termasuk Kuantan, Pulau Pinang dan Johor serta menyokong pengembangan operasi ke rantau Asia Tenggara.
- Direka untuk meningkatkan kecekapan operasi, mempercepat penyelarasan perkhidmatan dan memperkukuh sokongan kepada pelanggan.
- Syarikat merancang meluaskan fungsi hab dan mengembangkan skop perkhidmatan ke pasaran Australia dan New Zealand.
Fasiliti seluas kira-kira 12,000 meter persegi itu dibangunkan menerusi pelaburan melebihi RM10 juta dan menempatkan pelbagai fungsi utama termasuk jualan, sokongan teknikal, logistik serta perkhidmatan kewangan serantau.
Hab berkenaan turut berperanan sebagai pusat penyelarasan operasi syarikat di beberapa negeri termasuk Kuantan, Pulau Pinang dan Johor, selain menyokong pengembangan operasi di rantau Asia Tenggara.
Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Teknik Pemampat Atlas Copco Malaysia dan Singapura, Khalid Shaikh berkata, pembangunan fasiliti itu mencerminkan pertumbuhan syarikat di Malaysia sejak lebih empat dekad lalu.
Beliau berkata, syarikat yang bermula dengan 10 pekerja pada tahun 1982 kini berkembang kepada lebih 270 kakitangan, selari dengan pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut beliau, hab baharu itu direka bagi meningkatkan kecekapan operasi termasuk penyelarasan perkhidmatan yang lebih pantas serta memperkukuh sokongan kepada pelanggan di rantau ini.
“Atlas Copco berkait rapat dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia dan kami turut berkembang seiring dengan kemajuan serta pembangunan negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Atlas Copco Integrated Regional Hub di sini, hari ini.
Pemilihan Shah Alam sebagai lokasi operasi, katanya, adalah berdasarkan kedudukan strategik berhampiran kawasan perindustrian utama serta akses logistik termasuk Pelabuhan Klang, lebuh raya utama dan jaringan pengangkutan awam seperti LRT3.
Selain itu, pembukaan hab ini selari dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menekankan pembangunan aktiviti industri bernilai tinggi serta pengukuhan keupayaan teknikal dan perkhidmatan.
Mengulas prospek pelaburan, Khalid berkata syarikat merancang memperluas fungsi hab perkhidmatan bersama di Malaysia serta meluaskan skop perkhidmatan ke pasaran Australia dan New Zealand.
Dalam pada itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Selangor menyifatkan pelaburan berterusan syarikat multinasional sebagai bukti keyakinan terhadap ekosistem pelaburan negara.
Pengarahnya, Sherulanuar Abd. Karim berkata, Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab pelaburan serantau melalui kemasukan pelaburan berkualiti tinggi yang menyokong pembangunan industri, teknologi serta bakat tempatan.
Majlis perasmian turut dihadiri wakil kedutaan, termasuk Kedutaan Sweden di Malaysia, Niklas Wiberg, serta wakil industri dan rakan strategik lain yang terlibat dalam ekosistem pelaburan dan pembangunan industri negara.