Kebakaran hutan bakau jejas 1,000 penduduk

Kebakaran hutan bakau di Kampung Baru, Kuala Abang, Dungun jejas 1,000 penduduk.

DUNGUN, 24 April – Kebakaran kira-kira 32 hektar kawasan hutan simpan bakau di Kampung Baru, Kuala Abang, di sini menjejaskan hampir 1,000 penduduk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka yang merebak ke kawasan hutan bakau.
  • Kepulan asap tebal mengehadkan penglihatan dan mengganggu keselesaan penduduk.
  • Kesihatan warga emas, bayi dan kanak-kanak terjejas; beberapa keluarga berpindah sementara.
  • Bomba giat memadam; cuaca panas dan berangin mempercepatkan merebak, kebakaran dijangka dipadamkan dalam seminggu.

Menurut mereka, kebakaran bermula sejak pagi semalam itu dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka menyebabkan api merebak ke kawasan hutan simpan berkenaan.

Tinjauan di lokasi mendapati, kepulan asap tebal menyelubungi kawasan berkenaan, sekali gus mengganggu keselesaan penduduk serta mengehadkan jarak penglihatan.

Keadaan itu turut menjejaskan kesihatan penduduk, terutama warga emas yang menghidap penyakit kronik, kanak-kanak dan bayi.

Penduduk berkata, situasi semakin membimbangkan apabila api mula menghampiri kawasan kediaman.

Beberapa keluarga terpaksa berpindah sementara ke rumah saudara-mara kerana tidak tahan dengan asap tebal dan pencemaran udara.

Seorang penduduk, Hafsham Aksah berkata, beberapa rumah kini dikosongkan apabila penghuni berpindah ke tempat lain demi keselamatan.

“Rumah saya memang tak ada orang duduk lah sekarang ni. Jiran pun dah pindah ke kampung nelayan berdekatan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohamad Shahrul Zamzuri Amri berkata, asap tebal memberi kesan kepada kesihatan, khususnya bayi, kanak-kanak dan pelajar sekolah berhampiran.

“Saya ada anak kecil baru berusia enam bulan. Memang asap tebal boleh jejaskan kesihatan,” katanya.

Menurutnya lagi, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan rutin harian, malah memberi tekanan kepada keluarga yang terlibat, khususnya warga emas dan kanak-kanak.

Reaksi sama turut dikongsi Sazlah Aksah yang menyifatkan asap tebal kebakaran menjejaskan rutin harian keluarganya.

“Seksa jugalah dengan keadaan asap. Dahlah anak masih kecil , ada juga yang mengakami sakit jantung…memang terjejas rutin harian,” katanya

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Yahaya Hanafi berkata, cuaca panas dan berangin menyebabkan kebakaran cepat merebak.

Menurut beliau, operasi pemadaman sedang giat dijalankan dan kebakaran dijangka dapat dipadam sepenuhnya dalam tempoh seminggu lagi.