FAMA perkukuh langkah intervensi pastikan bekalan makanan negara stabil

Ketua Pengarah FAMA Abdul Rashid Bahri merasmikan program Jualan dan Promosi Harumanis di bangunan Busana@Menara MARA, hari ini. Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 APRIL – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memperkukuh langkah intervensi bagi memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi serta harga berada pada paras stabil, susulan krisis bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Ladang Kontrak beli terus daripada petani pada harga lantai, membolehkan penghantaran terus ke pasaran tanpa orang tengah.
  • Pembelian pada harga lantai melindungi pengeluar ketika harga jatuh dan membantu mereka meneruskan penanaman serta menstabilkan rantaian bekalan.
  • Bekalan makanan negara dilaporkan terkawal; orang ramai diminta melaporkan gangguan dan FAMA bersama agensi akan menanganinya segera.

Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, antara langkah utama yang dilaksanakan adalah program belian terus daripada petani menerusi program Ladang Kontrak FAMA, yang membolehkan hasil pertanian disalurkan terus ke pasaran tanpa melalui orang tengah.

Menurut beliau, inisiatif itu membolehkan hasil pertanian dibeli terus daripada petani pada harga lantai yang ditetapkan, sekali gus memudahkan akses pasaran serta membantu menstabilkan rantaian bekalan makanan negara.

“Sebagai contoh di Cameron Island kita jangka harga naik, rupanya harga agak turun dan kita membeli pada harga lantai jadi petani akan terus mampu menanam sebab kita bagi harga lantai maknanya kos pengeluaran campur dengan sedikit margin kita bagi.

“Jadi pengeluar boleh meneruskan usaha mereka dengan bantuan FAMA. Walaupun tidak banyak, kita dapat membantu petani memasarkan hasil pertanian mereka terus kepada pelanggan” katanya selepas merasmikan program Jualan dan Promosi Harumanis di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, pelaksanaan Ladang Kontrak FAMA mampu menjamin pasaran yang lebih stabil kepada para petani, selain melindungi mereka daripada kejatuhan harga, sekali gus memastikan kelangsungan bekalan makanan negara.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan, situasi bekalan makanan negara semasa, masih terkawal.

“Pengguna tidak perlu bimbang kerana setakat ini tiada aduan besar berkaitan kekurangan bekalan makanan. Jika ada sekalipun, ia hanya melibatkan kes terpencil. Orang ramai disarankan untuk menyalurkan maklumat berkaitan gangguan bekalan makanan kepada pihak berkuasa.

“Sebarang isu bekalan akan ditangani dengan kadar segera melalui kerjasama dengan FAMA dan agensi berkaitan bagi memastikan bekalan makanan kekal mencukupi dan stabil,” katanya.