
TEHRAN, 22 April – Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi dalam satu hantaran di platform X pada Selasa berkata sekatan Amerika Syarikat terhadap pelabuhan Iran merupakan tindakan perang yang melanggar gencatan senjata.
- Serangan ke atas kapal dagang Iran dan penahanan anak kapal dianggap pelanggaran lebih serius terhadap perjanjian gencatan senjata.
- Iran menegaskan keupayaannya menentang sekatan, mempertahankan kepentingan nasional dan menghadapi tekanan luar.
- Penasihat parlimen mahu balas ketenteraan terhadap sekatan; menyifatkan lanjutan gencatan senjata tidak bermakna sementara AS kekal mengenakan sekatan.
Beliau turut mendakwa tindakan menyerang kapal dagang Iran serta menahan anak kapal negara itu adalah pelanggaran yang lebih serius terhadap perjanjian tersebut.
Seyed Abbas Araghchi menegaskan Iran mempunyai keupayaan untuk menentang sekatan, mempertahankan kepentingannya serta menghadapi tekanan luar.
Sementara itu, penasihat kepada Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, Mehdi Mohammadi berkata sekatan Amerika Syarikat perlu dibalas dengan tindakan ketenteraan, sambil menyifatkan pengumuman lanjutan gencatan senjata oleh Presiden Donald Trump sebagai tidak bermakna.
“Melanjutkan gencatan senjata oleh Trump tidak bermakna. Pihak yang kalah tidak boleh menentukan syarat. Meneruskan sekatan tidak berbeza dengan pengeboman dan mesti dihadapi dengan tindak balas ketenteraan.
“Selain itu, sebarang lanjutan gencatan senjata oleh Trump pastinya merupakan cara untuk mendapatkan masa bagi serangan mengejut. Sekaranglah masanya untuk Iran mengambil inisiatif,” kata Mohammadi di platfotm X.
Terdahulu, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan lanjutan gencatan senjata dengan Iran bagi memberi ruang kepada Tehran mengemukakan cadangan bersama.
Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump berkata keputusan itu dibuat susulan permintaan Pakistan serta keadaan politik dalaman Iran yang disifatkan berpecah, bagi memberi ruang kepada kepimpinan negara itu mengemukakan cadangan bersama.
Trump turut menyatakan tentera Amerika Syarikat akan terus mengekalkan sekatan terhadap Iran dan kekal dalam keadaan bersiap siaga.- REUTERS