
WILLEMSTAD, 22 April– “Pulau kecil, impian besar” itulah slogan yang kini menghiasi setiap sudut di Curacao selepas pulau Caribbean itu melakar sejarah sebagai negara terkecil di dunia yang berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2026.
- Curacao mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 selepas seri 0-0 lawan Jamaica; seluruh pulau dilanda 'Gelombang Biru' semangat bola sepak.
- Kejayaan itu dijangka memacu industri pelancongan, dengan lonjakan pengunjung dan manfaat ekonomi kepada perniagaan tempatan.
- Komuniti diaspora di Belanda dan pemain yang beraksi di liga luar negara menjadi kunci kejayaan skuad kebangsaan.
- Curacao diundi dalam Kumpulan E bersama Ecuador, Ivory Coast dan Jerman; ramai tetap optimis, percaya kejutan mungkin berlaku.
Sejak mengesahkan tiket ke kejohanan berprestij itu menerusi keputusan seri 0-0 menentang Jamaica pada November lalu, kira-kira 160,000 penduduk pulau naungan Belanda itu kini dilanda demam bola sepak yang dikenali sebagai “Gelombang Biru”.
Kejayaan bersejarah itu bukan sahaja membanggakan malahan bakal memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan pulau yang terkenal dengan pasir pantai berwarna putih itu.
Tahun lalu, Curacao menerima 1.5 juta pelancong, dan angka itu mencatatkan kenaikan 13 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
“Bola sepak meletakkan kami di peta dunia,” kata Perdana Menteri Gilmar Pisas, yang juga merupakan bekas pemain bola sepak, sambil meramalkan kemasukan pelancong yang lebih ramai selepas ini.
Meskipun semangat bola sepak melonjak di pulau yang secara tradisinya lebih meminati sukan besbol, Presiden Persekutuan Bola Sepak Curacao, Gilbert Martina mengakui bahawa kejayaan ke Piala Dunia adalah hasil sumbangan besar komuniti diaspora mereka di Belanda.
“Kesemua pemain dalam skuad kebangsaan beraksi di liga luar negara,” katanya.
Malah, satu-satunya pemain yang dilahirkan di Curacao, Tahith Chong, berpindah ke Belanda seawal usia 13 tahun.
Legenda bola sepak dunia, Patrick Kluivert, yang mempunyai pertalian darah dengan Curacao dan pernah melatih pasukan itu pada 2015-2016, menyifatkan kejayaan melayakkan diri ke Piala Dunia sebagai pencapaian menakjubkan.
“Dahulu bola sepak tidaklah begitu besar di sini, tetapi para pemain telah memberikan penglihatan kepada Curacao. Ini penting untuk masa depan dan generasi akan datang,” kata bekas bintang Barcelona itu kepada AFP.
Curacao diundi dalam Kumpulan E yang dianggap sebagai “kumpulan maut” bersama Ecuador, Ivory Coast, dan juara dunia empat kali, Jerman.
Meskipun sedar akan cabaran getir yang menanti, aura optimis tetap menyelubungi penduduk tempatan.
Bekas bintang Argentina, Claudio Caniggia, yang berada di pulau itu untuk kejohanan legenda berkata, kejutan sering berlaku dalam peringkat awal Piala Dunia.
“Jika mereka berjaya melepasi pusingan pertama, ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Bagi peminat setia di sana, saiz negara bukanlah penghalang untuk bermimpi.
Rovien Petronilia, seorang pembantu kedai barangan rasmi pasukan, dengan penuh yakin meramalkan pasukan kerdil itu mampu menumbangkan gergasi dunia.
“Kami akan menewaskan Jerman!” katanya ketika ditemui di kedai yang kini menjadi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan mendapatkan jersi biru kebanggaan Curacao. – AFP