Op Serkap: Kegiatan palsukan data, dokumen warga asing tumpas

Foto Jabatan Imigresen Malaysia.

PUTRAJAYA, 21 April – Satu lagi kegiatan pemalsuan data dan dokumen melibatkan pekerja warga asing berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Op Serkap.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga individu warga Sri Lanka, termasuk seorang wanita, ditahan dalam serbuan di Selayang dan Desa Petaling, Selangor.
  • Sindiket mengubah suai dokumen tulen JIM seperti ePASS, menggunakan pelekat palsu, dan menyediakan dokumen perkahwinan serta laporan perubatan palsu.
  • Semua ditahan ditempatkan di Depot Imigresen dan disiasat bawah Akta Imigresen, Akta Pasport, Peraturan Imigresen dan ATIPSOM; pelbagai dokumen serta peranti disita.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban mendedahkan, tiga individu warga Sri Lanka termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan di dua premis kediaman sekitar Selayang dan Desa Petaling, Selangor.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, modus operandi sindiket itu melibatkan pengubahsuaian dokumen tulen yang dikeluarkan JIM seperti ePASS serta penggunaan pelekat palsu bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Terdapat juga dokumen pendaftaran perkahwinan melibatkan pasangan kepada warganegara serta laporan perubatan yang disediakan bagi tujuan permohonan berkaitan JIM dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC),” katanya.

Menurutnya, kegiatan itu dipercayai aktif selama kurang dari dua tahun dengan penglibatan rangkaian tertentu bagi melancarkan kemasukan dan keberadaan warga asing secara tidak sah di negara ini.

“Kesemua warganegara asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” jelasnya.

Dalam operasi sama, sebanyak satu Saman kepada Saksi (Borang 29) dikeluarkan bagi membantu siasatan lanjut.

Pasukan operasi turut menyita pelbagai peralatan dan dokumen yang diubah suai, antaranya 11 pasport pelbagai negara, 15 keping i-Kad, lima peranti digital, lima telefon bimbit dan sebuah mesin pencetak.