Terap prinsip di mana ada trek, di situ ada Internet – Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (dua, kiri) menyertai sesi ujian kelajuan dan kualiti liputan selular sepanjang laluan Kereta Api Elektrik (ETS) dari KL Sentral ke Segamat, Johor hari ini. /Foto BERNAMA

SEGAMAT, 19 April – Prinsip “di mana ada trek, di situ ada Internet” diterapkan dalam usaha meningkatkan capaian Internet di sepanjang laluan perkhidmatan tren elektrik (ETS) KL Sentral-Segamat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prinsip 'di mana ada trek, di situ ada Internet' diterapkan untuk meningkatkan capaian sepanjang laluan ETS KL Sentral ke Segamat.
  • MCMC dan syarikat telekomunikasi diminta menyelesaikan isu capaian sepanjang laluan ETS dalam tempoh sebulan.
  • Enam lokasi dikenal pasti mengalami masalah rangkaian, kebanyakannya kawasan luar bandar dan ladang sawit memerlukan pengoptimuman.
  • Ujian 4G dan 5G mengukur kelajuan, kestabilan dan kesinambungan; 71 peratus kawasan sudah dilengkapi 5G dengan peluasan berperingkat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata ia merupakan peluasan kepada prinsip yang digunakan sebelum ini iaitu “di mana ada jalan, di situ ada Internet”.

Sehubungan itu, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi telah diminta menyelesaikan masalah capaian Internet di sepanjang laluan perkhidmatan ETS berkenaan dalam tempoh sebulan.

Setakat ini enam lokasi telah dikenal pasti mengalami masalah rangkaian dan kesalinghubungan sepanjang laluan KL Sentral-Segamat.

Kebanyakkan lokasi yang terjejas itu tidak mempunyai jumlah penduduk yang besar atau merupakan kawasan ladang sawit.

Antaranya di kawasan luar bandar sekitar Negeri Sembilan, Melaka serta Johor Utara yang memerlukan tindakan penambahbaikan dan pengoptimuman lanjut oleh pihak penyedia perkhidmatan.

“Sesetengah telco merasakan tiada aktiviti yang memerlukan internet di sesetengah kawasan,”

Namun, pihak KTM memaklumkan lebih kurang 16-ribu pengguna ETS menggunakan laluan sepanjang jajaran, jadi ada keperluan untuk pihak telco menyelesaikan masalah itu,” katanya ketika ditemui semasa sesi pengujian kelajuan Internet dalam perkhidmatan ETS bagi laluan KL Sentral-Segamat.

Selain memanfaatkan menara sedia ada dan juga menggunakan ‘repeater’ dalam gerabak keretapi bagi meningkatkan kestabilan rangkaian serta jangkauan kesalinghubungan internet di lokasi penduduk padat.

Sementara itu, MCMC dalam kenyataan memaklumkan tujuan ujian tersebut ialah untuk menilai prestasi liputan dan kelajuan rangkaian 4G dan 5G secara masa nyata di sepanjang laluan rel yang menjadi antara koridor pengangkutan utama negara.

“Pelbagai parameter teknikal telah diukur, termasuk kelajuan muat turun dan muat naik, kestabilan sambungan data serta kesinambungan liputan tanpa gangguan.

“Pengujian itu menggunakan peralatan khusus dan aplikasi pemantauan rangkaian bagi memastikan dapatan yang tepat dan komprehensif,” menurut kenyataan itu.

Pada masa ini, MCMC memaklumkan sebanyak 71 peratus kawasan liputan telah dilengkapi perkhidmatan 5G dan peluasan liputan akan diteruskan secara berperingkat.

Bagaimanapun, terdapat beberapa lokasi mengalami penurunan kualiti liputan dan kelajuan muat turun khususnya di kawasan luar bandar sekitar Negeri Sembilan, Melaka serta Johor Utara yang memerlukan tindakan penambahbaikan dan pengoptimuman lanjut oleh pihak penyedia perkhidmatan.