
PUTRAJAYA, 15 April — Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) yang dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merekodkan seramai 204,523 warga asing telah pulang ke negara asal secara sukarela setakat hari ini.
- Pelaksanaan PRM 2.0 turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara melalui kutipan kompaun sebanyak RM114,580,000.
- Terdapat lonjakan permohonan menjelang fasa akhir menyebabkan kesesakan di pejabat Imigresen dan had kapasiti pemprosesan harian dikenakan.
- JIM memohon lanjutan PRM 2.0 untuk beri peluang lebih ramai PATI pulang tanpa pendakwaan; keputusan rasmi masih belum dimuktamadkan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berkata, jumlah kepulangan tersebut merupakan sebahagian daripada 228,961 individu yang telah berdaftar untuk menyertai program berkenaan sejak ia dilancarkan pada 19 Mei tahun lalu.
Selain memudah cara proses kepulangan warga asing tanpa izin (PATI), pelaksanaan program tersebut turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara menerusi kutipan kompaun.
“Melalui program ini juga, kerajaan telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM114,580,000,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Mengulas mengenai trend permohonan, Zakaria menjelaskan bahawa berlaku lonjakan permohonan yang ketara menjelang fasa akhir program tersebut sehingga mencetuskan kesesakan di pejabat-pejabat Imigresen seluruh negara.
“Peringkat awal kempen ini agak perlahan, tetapi di saat-saat akhir ini jumlahnya meningkat dengan ramai. Sebab itu pejabat Imigresen sekarang penuh dengan warga asing yang ingin menyertai program ini, namun kami mempunyai had kapasiti tertentu bagi jumlah permohonan yang boleh diproses setiap hari,” jelas beliau.
Berdasarkan rekod, warga Indonesia mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi diikuti oleh warga Bangladesh.
Zakaria turut mengesahkan pihaknya telah mengemukakan permohonan rasmi supaya PRM 2.0 dilanjutkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai PATI pulang tanpa perlu melalui proses pendakwaan.
Bagaimanapun, keputusan rasmi berhubung cadangan lanjutan tersebut masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan.
Program Repatriasi Migran merupakan inisiatif kerajaan untuk memberikan peluang kepada warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen untuk pulang ke tanah air masing-masing setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, termasuk membayar kompaun bagi kesalahan yang dilakukan.