
NEW YORK, 15 April — Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, pada Selasa menggesa agar “rundingan serius” bagi menamatkan peperangan di Asia Barat disambung semula dengan segera dan menegaskan bahawa krisis tersebut tidak akan diselesaikan secara ketenteraan.
- Trump umum pusingan kedua rundingan AS-Iran mungkin berlangsung di Pakistan dalam dua hari.
- Gencatan senjata dua minggu melalui pengantaraan Pakistan perlu dipertahankan untuk elak konflik bertambah buruk.
- Titik perbalahan utama ialah program nuklear: AS minta penggantungan 20 tahun, Iran tawar 5 tahun; Rusia tawar simpan uranium.
Kenyataan itu dibuat ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, membayangkan kemungkinan rundingan damai antara Washington dan Tehran akan disambung semula di Pakistan dalam tempoh terdekat.
Guterres, yang bercakap kepada wartawan di Ibu Pejabat PBB disini turut menekankan bahawa kebebasan pelayaran antarabangsa di Selat Hormuz mesti dihormati oleh semua pihak bagi mengelakkan gangguan ekonomi global.
“Tiada penyelesaian ketenteraan untuk krisis ini. Perjanjian damai memerlukan penglibatan politik yang berterusan dan azam yang kuat. Rundingan serius mesti diteruskan semula,” kata beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa gencatan senjata selama dua minggu antara AS dan Iran, yang dicapai Rabu lalu melalui pengantaraan Pakistan, perlu dipertahankan bagi mengelakkan konflik sedia ada daripada terus meruncing.
Sementara itu, di Washington, Presiden Trump memaklumkan kepada The New York Post bahawa pusingan kedua rundingan dengan Iran mungkin berlangsung di Pakistan “dalam tempoh dua hari akan datang.”
Ini susulan dakwaan beliau bahawa pegawai Iran telah menghubunginya untuk mencari jalan penyelesaian diplomatik.
Walau bagaimanapun, pentadbiran Trump tetap meneruskan pendekatan tekanan maksimum menerusi sekatan laut oleh Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM).
Sekatan tersebut menyasarkan semua kapal yang keluar masuk dari pelabuhan Iran, satu tindakan yang disifatkan Tehran sebagai “aktiviti lanun.”
Penganalisis berpendapat langkah itu bertujuan menjejaskan pendapatan Iran dan menekan pembeli minyak utama seperti China supaya mendesak Tehran membuka semula Selat Hormuz.
Titik perbalahan utama dalam rundingan ini kekal pada program nuklear Iran.
AS dilaporkan menuntut penggantungan program pengayaan uranium selama 20 tahun sebagai syarat perjanjian kekal.
Namun, Tehran setakat ini hanya menawarkan penggantungan selama lima tahun iaitu cadangan yang ditolak mentah-mentah oleh pegawai Washington.
Sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa, Rusia dilaporkan telah menawarkan peranan untuk menyimpan uranium Iran secara selamat bagi membantu mencapai persetujuan.
Dalam pada itu, Guterres menyambut baik permulaan rundingan terus antara Israel dan Lebanon di Washington yang merupakan dialog peringkat tinggi pertama antara kedua-dua negara sejak tahun 1993.
Meskipun rundingan itu ditentang hebat oleh kumpulan Hizbullah yang masih bertempur dengan tentera Israel di selatan Lebanon, Guterres berharap ia dapat mewujudkan keadaan yang mampu mengubah corak tindakan pihak-pihak terlibat di rantau tersebut.
Beliau turut membuat rayuan lebih luas agar semua pihak mengamalkan sikap menahan diri dan bertanggungjawab terhadap undang-undang antarabangsa yang kini dilihat semakin dipinggirkan.
“Keadaan tanpa undang-undang hanya akan membiakkan huru-hara, penderitaan, dan kemusnahan,” amaran beliau. -AFP