Rundingan damai AS-Iran mungkin disambung semula di Pakistan

FOTO AFP

WASHINGTON, 15 April — Presiden Amerrika Syarikat, Donald Trump pada Selasa menimbang semula kemungkinan untuk menyambung rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran minggu ini

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan baru AS-Tehran mungkin diadakan di Pakistan dalam masa dua hari, menurut kenyataan kepada The New York Post.
  • AS memperketat sekatan laut terhadap semua kapal masuk dan keluar pelabuhan Iran; tentera Iran menyifatkannya sebagai lanun dan memberi amaran.
  • Rundingan fokus pada program nuklear; AS tuntut penggantungan pengayaan uranium 20 tahun, Iran tawar lima tahun.
  • Diplomasi antarabangsa dipergiat: PBB kata tiada penyelesaian ketenteraan; Rusia tawar simpan uranium Iran, Lavrov di Beijing.

Perkembangan terbaharu itu menandakan langkah signifikan dalam usaha meredakan konflik di Asia Barat yang telah berlarutan selama lebih enam minggu.

Bercakap kepada The New York Post, Trump menyatakan pusingan baharu rundingan dengan Tehran boleh diadakan di Pakistan “dalam tempoh dua hari akan datang” selepas mendakwa pegawai Iran menghubunginya untuk mencari jalan penyelesaian.

Meskipun usaha diplomasi menunjukkan kemajuan, Trump terus mempertingkatkan tekanan ke atas Iran melalui sekatan laut.

Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan sekatan itu melibatkan semua kapal yang keluar masuk dari pelabuhan dan kawasan pesisir Iran. Pihak tentera Iran menyifatkan tindakan itu sebagai “lanun” dan memberi amaran bahawa tiada pelabuhan di Teluk Parsi akan selamat jika keselamatan pelabuhan mereka terancam.

Penganalisis berpendapat langkah Trump itu bertujuan melumpuhkan pendapatan Iran serta menekan Beijing, pembeli terbesar minyak Iran, agar mendesak Tehran membuka semula Selat Hormuz.

Tumpuan utama rundingan AS-Iran kekal terarah kepada program nuklear Tehran. Trump bertegas bahawa sebarang perjanjian mesti menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear secara kekal.

Laporan media menyebut AS menuntut penggantungan program pengayaan uranium Iran selama 20 tahun, manakala Tehran setakat ini hanya menawarkan penggantungan selama lima tahun iaitu cadangan yang ditolak oleh pegawai Washington.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menegaskan “tiada penyelesaian ketenteraan” bagi konflik berkenaan dan rundingan serius perlu diteruskan dengan azam politik yang kuat.

Usaha diplomatik turut diperhebat di peringkat antarabangsa dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov dilaporkan berada di Beijing bagi membincangkan krisis tersebut dengan Moscow menawarkan untuk menyimpan uranium Iran dengan selamat sebagai sebahagian daripada pelan damai. – AFP