Insentif BUDI Diesel, BUDI Agri-Komoditi naik RM400, tambah sokongan kepada pesawah

BUDI Diesel Individu ditingkatkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi April 2026. /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 AprilKerajaan bersetuju memperkukuh beberapa inisiatif utama bagi menambah baik bantuan kepada pengguna diesel, susulan tekanan berterusan terhadap kos bahan api dan rantaian bekalan global akibat konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insentif Pembajakan kepada Pesawah dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 setiap hektar, menjangka manfaat hampir 200,000 pesawah padi.
  • BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu dinaikkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan; bayaran disalur 21 April 2026.
  • Kerajaan melonggarkan syarat permit bagi pembelian diesel melebihi 20 liter dengan pengemukaan pendaftaran jentera, garis panduan lanjut akan diperincikan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, antara langkah utama termasuk sokongan kepada pesawah menerusi Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 yang dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 per hektar.

“Kenaikan ini melibatkan tambahan dana sekitar RM40 juta, dan dijangka memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi, yang sebahagiannya bakal memulakan penanaman padi pada bulan ini.

“Sebagai bantuan tambahan, tahun lalu juga, Kerajaan MADANI memperkenalkan Insentif Penuaian sebanyak RM50 untuk sehektar semusim bagi meringankan beban kenaikan kos input,” kata MOF dalam kenyataan sama.

Dalam pada itu, peningkatan bantuan tunai bawah program BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu turut ditingkatkan daripada RM300 kepada RM400 sebulan bagi April 2026.

Bantuan itu akan disalurkan pada 21 April ini, sekali gus menjadikannya kali kedua kadar tersebut dinaikkan susulan krisis semasa.

“BUDI Agri-Komoditi dijangka memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil, melibatkan tambahan peruntukan sekitar RM20 juta sebulan.

“Sementara itu, BUDI Diesel Individu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel di Semenanjung, dengan tambahan dana sekitar RM15 juta sebulan,” kata MOF dalam kenyataan sama.

Tambah MOF, pihaknya dianggarkan bakal menanggung subsidi sekitar RM7 bilion bagi April 2026, termasuk tambahan RM75 juta untuk ketiga-tiga inisiatif bantuan diesel.

Selain itu, kerajaan turut memudahcara pembelian diesel bagi kegunaan selain kenderaan dengan melonggarkan syarat permit khas bagi pembelian melebihi 20 liter.

Pemilik mesin atau jentera pertanian kini dibenarkan membeli diesel melebihi had tersebut dengan hanya mengemukakan pendaftaran jentera, manakala garis panduan lanjut akan diperincikan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata, penambahbaikan itu dibuat mengambil kira tekanan berterusan dalam pasaran tenaga global.

Ini khususnya gangguan bekalan petroleum antarabangsa yang menyaksikan harga diesel bertapis meningkat sehingga AS$250 setong hampir tiga kali ganda berbanding sebelum konflik.

“Keutamaan Kerajaan MADANI adalah jelas, memastikan keterjaminan bekalan barangan asas untuk rakyat, ekoran kenaikan harga minyak mendadak dan gangguan rantaian bekalan dunia.

Langkah yang diumumkan hari ini melibatkan perbelanjaan tambahan, antaranya untuk membantu pengeluar makanan, demi kelangsungan bekalan makanan untuk rakyat,” katanya.

Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) juga akan terus memantau perkembangan di Asia Barat serta kesannya terhadap ekonomi domestik, dan bersedia mengambil langkah lanjut bagi melindungi rakyat serta memastikan kestabilan ekonomi negara.