Pakistan usaha satukan AS-Iran, rundingan kedua

Foto REUTERS

ISLAMABAD, 14 April –Pakistan giat mengatur usaha mempertemukan Iran dan Amerika Syarikat bagi pusingan kedua rundingan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus utama adalah melanjutkan tempoh gencatan senjata untuk membuka ruang kepada penyelesaian diplomatik.
  • Kedua pihak berkongsi tuntutan dan konsesi secara bertulis, menunjukkan kesediaan untuk mencapai kompromi.
  • Washington menetapkan garis merah; Tehran anggap tuntutan terlalu keras tetapi belum menolak rundingan lanjut.

Fokus  utamanya adalah bagi melanjutkan tempoh gencatan senjata demi membuka ruang kepada penyelesaian diplomatik.

Sumber kanan Pakistan memaklumkan, langkah sedang diambil membawa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan selepas pertemuan bersemuka bersejarah di Islamabad hujung minggu lalu gagal mencapai persetujuan segera menamatkan konflik di Asia Barat.

“Usaha sedang dijalankan untuk mengatur rundingan semula. Islamabad kekal sebagai lokasi pilihan, namun setakat ini belum ada keputusan muktamad,” kata sumber yang enggan dikenali.

Menurutnya, rundingan tersebut berpotensi berlangsung dalam masa terdekat, meskipun tarikh rasmi masih belum ditetapkan.

Dalam perkembangan sama, Pakistan turut berusaha mendapatkan lanjutan tempoh gencatan senjata sedia ada yang dijangka berakhir minggu depan.

“Kami mahu memastikan gencatan senjata dilanjutkan bagi memberi lebih masa kepada proses rundingan,” katanya.

Seorang lagi pegawai mengesahkan bahawa perbincangan antara Washington dan Tehran masih berkemungkinan diteruskan sebelum tempoh gencatan senjata tamat, walaupun lokasi dan tarikh belum diputuskan.

Menurut sumber, kedua-dua pihak juga telah berkongsi garis besar tuntutan serta konsesi masing-masing secara bertulis, sekali gus menunjukkan kesediaan untuk mencapai kompromi.

Pada Isnin, Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, menegaskan bahawa Washington telah menetapkan “garis merah” mereka, sambil menyatakan keputusan kini terletak di pihak Iran.

Tehran bagaimanapun menuduh Washington mengemukakan tuntutan yang terlalu keras, namun tidak menolak usaha berterusan pemimpin dunia untuk menghidupkan semula rundingan.

Sementara itu, gencatan senjata selama dua minggu yang dipersetujui minggu lalu masih kekal, walaupun ketegangan berterusan susulan sekatan laut oleh Amerika Syarikat terhadap pelabuhan Iran di Selat Hormuz, laluan strategik yang sebelum ini ditutup oleh Tehran.

Perkembangan itu menandakan usaha diplomatik masih berjalan dalam suasana yang rapuh, dengan harapan rundingan seterusnya mampu meredakan konflik yang semakin memuncak. – AFP