
KUALA LUMPUR, 14 April – Kerjasama antara penyiar awam seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan ORF (Österreichischer Rundfunk) dilihat mampu memperluas akses maklumat serta meningkatkan kefahaman antara masyarakat Malaysia dan Austria, sejajar dengan perkembangan landskap media global masa kini.
- Kerjasama membuka peluang aplikasi teknologi dan memberi tumpuan kepada golongan muda ASEAN serta Eropah melalui platform penyiaran sebagai penghubung.
- RTM berpotensi menjadi gerbang memperkenalkan ASEAN kepada masyarakat Eropah melalui acara bersama dan kolaborasi kandungan antara penyiar.
- Aspek muzik jadi fokus kerjasama kerana Austria, terutamanya Vienna, terkenal sebagai kota muzik dunia.
- Duta dan ketua penyiar menyeru pendalaman hubungan dua hala untuk memanfaatkan potensi serta mengukuhkan persefahaman antara rakyat.
Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail berkata, kerjasama itu membuka peluang baharu khususnya dalam pengaplikasian teknologi serta memberi fokus kepada generasi muda di rantau ASEAN dan Eropah melalui peranan platform penyiaran sebagai penghubung.
“Terutamanya kita lihat hubungan antara Malaysia dan Austria sepanjang lima dekad ini, kita ada peluang yang sangat besar. Pertama adalah bagaimana kita memanfaatkan teknologi dan mengukuhkan hubungan antara rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Dua Hala Antara Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Ashwad Ismail dan Duta Besar Austria ke Malaysia, Gerhard Eisl di Angkasapuri.
RTM juga dilihat berpotensi menjadi gerbang penting dalam memperkenalkan ASEAN kepada masyarakat Eropah, termasuk melalui penganjuran acara bersama serta kolaborasi kandungan antara penyiar.
Dalam pada itu beliau menjelaskan aspek muzik turut menjadi antara fokus kerjasama memandangkan Austria, khususnya Vienna, terkenal sebagai kota muzik dunia.
Sementara itu, Duta Besar Austria ke Malaysia Gerhard Eisl menyifatkan hubungan sedia ada dengan Malaysia berada pada tahap yang sangat baik selain perlu memanfaatkan potensi kedua-dua negara pada masa hadapan.
“Penyiar awam juga merupakan sebuah organisasi penyiaran yang bebas. Saya yakin mereka amat berminat untuk memperdalam kerjasama dengan RTM kerana, seperti yang saya nyatakan, adalah penting untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat tentang negara kita, tentang Eropah, Austria, Malaysia dan ASEAN.
“Itulah merupakan kunci utamanya dalam keadaan banyak perkara yang sedang berlaku, persefahaman antara rakyat adalah sangat penting,” katanya.
Turut Hadir Pengarah Bahagian Program TV Reza Shariman Othman dan Timbalan Pengarah, Seksyen Dasar dan Penyelidikan Fairuz Mohd Radzi.