Sindiket menyamar wakil NSRC perdaya mangsa kali kedua

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 AprilTaktik sindiket penipuan kini semakin licik apabila menyasarkan mangsa sedia ada dengan menyamar sebagai pihak berkuasa untuk menawarkan bantuan mendapatkan semula wang yang hilang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket menyamar sebagai wakil NSRC, menghubungi mangsa melalui WhatsApp selepas mangsa tertarik iklan di Facebook.
  • Mangsa diminta bayar pendahuluan dan melakukan beberapa pemindahan wang ke akaun berbeza, namun tiada pemulangan seperti dijanjikan.
  • Enam kes direkod antara 2025 hingga Mac 2026 dengan kerugian RM68,491; kes di beberapa negeri, mangsa disaran hubungi NSRC 997 atau polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan, sindiket terbabit dikesan menyamar sebagai wakil National Scam Response Centre (NSRC) bagi meyakinkan mangsa.

Menurut beliau, mangsa biasanya tertarik dengan iklan di Facebook sebelum dihubungi melalui aplikasi WhatsApp oleh suspek yang menawarkan bantuan untuk mendapatkan semula wang yang telah ditipu.

“Mangsa akan diminta membuat bayaran pendahuluan sebagai syarat perkhidmatan, sebelum diarahkan melakukan beberapa transaksi ke akaun bank berbeza.

“Mereka yang percaya akan terus membuat bayaran tambahan, namun tiada sebarang pemulangan wang seperti dijanjikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, berdasarkan rekod pihaknya, sebanyak enam kes melibatkan taktik penipuan tersebut direkodkan dari tahun 2025 hingga Mac 2026 dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM68,491.

Kes-kes berkenaan dilaporkan di beberapa negeri termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu, dengan kebanyakan mangsa diperdaya buat kali kedua.

Dalam masa sama, beliau menegaskan tiada mana-mana pihak yang boleh menjanjikan pemulangan wang secara mudah, lebih-lebih lagi dengan mengenakan bayaran pendahuluan.

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, membuat semakan dengan pihak berkuasa dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran sedemikian.

Mangsa penipuan juga disaran segera menghubungi National Scam Response Centre di talian 997 atau tampil membuat laporan di balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan segera diambil.