Institusi asing kekal pembeli bersih di Bursa Malaysia, catat aliran masuk bersih RM470 Juta

Foto fail/RTM

KUALA LUMPUR, 13 April –Institusi asing meneruskan aliran belian bersih kepada tiga minggu berturut-turut, dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM470.3 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Institusi asing pembeli bersih pada empat daripada lima hari dagangan, aliran masuk terbesar pada Rabu.
  • Sektor utama terima aliran masuk asing: perladangan, produk dan perkhidmatan perindustrian, serta perkhidmatan kewangan.
  • Institusi tempatan kekal penjual bersih; pelabur runcit kembali pembeli bersih; volum dagangan harian purata merosot.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB), institusi asing di Bursa Malaysia merupakan pembeli bersih bagi empat daripada lima hari dagangan sepanjang minggu tersebut, dengan aliran masuk terbesar direkodkan pada Rabu sebanyak RM161.8 juta.

Bank pelaburan itu berkata, antara tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perladangan (RM230.7 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM204.0 juta), serta perkhidmatan kewangan (RM130.0 juta).

”Sementara itu, pelabur runcit kembali menjadi pembeli bersih dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM189.2 juta.

Namun, institusi tempatan melanjutkan aliran jualan bersih kepada tiga minggu berturut-turut dengan aliran keluar bersih sebanyak RM659.4 juta,” jelas MBSB IB dalam laporan aliran dananya bagi minggu berakhir 10 April 2026.

Tambahnya, purata volum dagangan harian menyaksikan penurunan secara menyeluruh, dengan pelabur runcit susut 21.6 peratus, institusi tempatan menurun 23 peratus, manakala institusi asing merosot 29.6 peratus.

MBSB IB berkata merentasi lapan pasaran yang dipantaunya, pelabur asing menamatkan aliran jualan bersih selama tujuh minggu berturut-turut, didahului oleh India, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Bagaimanapun, Malaysia merupakan antara pasaran yang mencatatkan aliran masuk bersih, bersama Taiwan, Korea Selatan dan Thailand, dengan jumlah aktiviti belian bersih bagi keempat-empat pasaran itu mencecah AS$6.52 bilion.