Potongan cukai, ‘laluan hijau’ langkah strategik tangani gangguan bekalan mentah

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok

KUALA LUMPUR, 12 April -Pemberian potongan cukai berganda bagi kos logistik krisis serta pengecualian duti import ke atas kargo terkandas antara langkah strategik yang boleh dilaksanakan untuk melindungi kelangsungan industri dalam mendepani gangguan rantaian bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laksana 'Laluan Hijau' oleh SIRIM dan NPRA untuk menampung kekurangan bekalan bahan kimia khusus serta bahan aktif farmaseutikal.
  • Segerakan kelulusan pertukaran pembekal ke negara alternatif bagi memastikan kesinambungan operasi pengeluaran tanpa gangguan birokrasi.
  • Sediakan pinjaman mudah, fleksibiliti bayaran balik dan subsidi diesel bersasar sebagai talian hayat sambil menggerakkan pendekatan seluruh kerajaan.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata, langkah itu penting bagi memastikan industri tidak berdepan tekanan modal kerja berterusan, berikutan gangguan pelabuhan yang berada di luar kawalan susulan impak krisis Asia Barat.

“Bagi mengelakkan risiko penutupan kilang secara drastik, subsidi diesel bersasar juga perlu dikekalkan buat masa ini.

”Selain itu, industri turut memerlukan pelaksanaan ‘Laluan Hijau’ oleh SIRIM Berhad dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi menangani kekangan bekalan bahan kimia khusus serta bahan aktif farmaseutikal (API) daripada sumber tradisional,” katanya kepada RTM.

Tambah beliau, kelulusan bagi pertukaran pembekal ke negara alternatif, wajar disegerakan supaya operasi pengeluaran tidak terganggu oleh proses birokrasi.

Dalam masa sama, katanya institusi kewangan juga disaran untuk menyediakan pinjaman mudah serta fleksibiliti pembayaran balik sebagai sokongan kepada syarikat yang terjejas.

“Ini merupakan talian hayat yang amat diperlukan. Krisis sistemik ini memerlukan pendekatan seluruh kerajaan. Kita perlu bertindak secara kolektif bagi memastikan nadi ekonomi Malaysia terus kekal kukuh,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sektor pembuatan negara kini berdepan risiko sistemik sekiranya gangguan bekalan bahan mentah berasaskan petroleum berlarutan dalam jangka panjang.

Katanya, kira-kira sembilan daripada sepuluh pengilang di Malaysia telah mula merasai kesannya, manakala hampir 70 peratus menjangkakan kekurangan stok kritikal dalam tempoh empat minggu akan datang.