RM240 juta dana awam mengalir ke luar negara, SPRM siasat skandal saham

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 11 April – Sebanyak RM240 juta dana awam dikesan mengalir ke luar negara dalam satu skandal penjualan saham yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM memperluas siasatan dengan kerjasama pihak berkuasa antarabangsa.
  • Siasatan mendapati individu mengawal rundingan, menetapkan harga dan kelulusan; disyaki rasuah serta pengubahan wang haram.
  • Aliran dana melebihi AS$51 juta melalui akaun luar negara dan syarikat luar pesisir untuk menyembunyikan identiti.
  • Sebahagian dana dilaburkan semula di Bursa Malaysia, hampir RM17 juta akaun dibekukan; aset disusul di Singapura, UAE, BVI dan Labuan.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul dalam kenyataan memaklumkan, siasatan masih diteruskan dan kini diperluas dengan kerjasama pihak berkuasa antarabangsa.

“Hasil siasatan mendapati individu terbabit mengawal proses rundingan termasuk penetapan harga dan kelulusan urus niaga, selain disyaki terlibat dalam rasuah serta pengubahan wang haram.

“Aliran dana melebihi AS$51 juta dikesan melalui beberapa akaun luar negara dengan penggunaan syarikat luar pesisir untuk menyembunyikan identiti, manakala sebahagian dana dilaburkan semula di Bursa Malaysia dan akaun hampir RM17 juta telah dibekukan bagi membantu siasatan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Siasatan melibatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan yang dipercayai menyalahgunakan kuasa dalam urusan penjualan saham menggunakan dana awam.

Antara negara dan wilayah terlibat bagi mengesan aset dan meneliti transaksi rentas sempadan ialah Singapura, Emiriah Arab Bersatu, British Virgin Islands serta Labuan.