
BENTONG, 11 April – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian melibatkan kematian
seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di Bentong, Pahang.
- Kementerian Pertahanan memandang serius insiden dan tiada kompromi terhadap mana-mana pihak terlibat.
- Kes kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang.
- Polis akan melengkapkan siasatan segera, menjalankan bedah siasat dan merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menzahirkan perasaan dukacita dengan pemergian anggota TDM, Allahyarham Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini. Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
“Kementerian Pertahanan memandang serius insiden ini. Sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti serta profesionalisme yang dijunjung oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau turut memaklumkan, kes berkenaan kini dalam proses perundangan dan akan diadili mahkamah mengikut undang-undang.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat. Kes ini kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Beliau turut menegaskan, kementerian akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya, serta mengarahkan ATM memperkukuh disiplin dan integriti pasukan melalui tindakan tegas, agar kejadian seumpama ini tidak berulang.
Prebet Muhammad Amirul Raziq, 24 tahun, disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 pagi tadi, selepas dua minggu menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
Terdahulu, mangsa dilaporkan parah dipercayai akibat dipukul dalam kejadian di Kem Tentera Batalion 25 RAMD, Bentong, disyaki berpunca daripada ketidakpuasan hati berhubung kerja pembersihan dalam kejadian pada 31 Mac lalu.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan awal mendapati seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) menggunakan kekerasan dengan menampar, serta menumbuk di bahagian muka dan perut tujuh anggota di kem berkenaan.
Sementara itu Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memberi jaminan bahawa kes berkenaan akan dilengkapkan secepat mungkin.
Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan hari ini dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya sejurus ia dilengkapkan bagi menanti arahan selanjutnya.