
BOGOTA, 11 April – Kementerian Perdagangan Colombia pada Jumaat mengumumkan tarif sebanyak 100 peratus terhadap barangan import dari Ecuador.
- Tindakan Colombia dibuat sebagai tindak balas terhadap kenaikan tarif Ecuador terhadap barangan Colombia.
- Perselisihan meregang selepas Presiden Ecuador mengkritik Petro tentang kegagalan membanteras penyeludupan dadah dan perlombongan haram di sempadan.
- Colombia sejak awal tahun mengenakan tarif timbal balik berterusan setiap kali Ecuador menaikkan sekatan perdagangan.
- Petro mengecualikan beberapa bahan mentah penting bagi industri domestik dan membayangkan kemungkinan menarik keluar Colombia daripada blok CAN.
Tindakan berkenaan dilakukan sebagai tindak balas susulan langkah serupa yang diambil oleh negara jiran Amerika Selatan itu sehari sebelumnya.
Pertikaian perdagangan yang berlarutan selama berbulan-bulan ini semakin meruncing apabila Presiden Ecuador, Daniel Noboa, mengkritik rakan sejawatnya dari Colombia, Gustavo Petro, kerana didakwa gagal membanteras kegiatan penyeludupan dadah dan perlombongan haram di sepanjang sempadan kedua-dua negara.
Langkah terbaharu Colombia ini merupakan tindakan balas terhadap keputusan Ecuador yang menaikkan tarif ke atas barangan Colombia daripada 50 peratus kepada 100 peratus pada Khamis, yang turut mendorong Petro memanggil pulang dutanya ke Bogota.
Sejak awal tahun ini, Colombia secara konsisten mengenakan tarif timbal balik setiap kali Ecuador meningkatkan sekatan perdagangan mereka, bermula daripada kadar awal 30 peratus sehingga mencecah 100 peratus.
Bagaimanapun, Petro menerusi hantaran di X menjelaskan bahawa beberapa bahan mentah yang dianggap penting bagi pengeluaran industri domestik Colombia akan dikecualikan dan dikenakan tarif sifar peratus.
Ketegangan antara dua negara berkenaan mencapai kemuncak minggu ini selepas Petro melabelkan bekas naib Presiden Ecuador, Jorge Glas, sebagai seorang “tahanan politik”.
Glas yang berkhidmat dari 2013 hingga 2018 kini sedang menjalani hukuman penjara 13 tahun atas kesalahan rasuah dan mendakwa beliau telah menerima layanan buruk sejak ditahan pada November lalu.
Petro turut membayangkan kemungkinan untuk menarik keluar Colombia daripada blok Komuniti Negara-Negara Andean (CAN) yang turut dianggotai oleh Peru, Bolivia, dan Ecuador. – AFP