Australia, Singapura perkukuh kerjasama keselamatan tenaga

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese (kiri) dan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong (kanan) / AFP

SINGAPURA, 10 April -Australia dan Singapura hari ini bersetuju untuk memastikan kelangsungan bahan api dan gas asli cecair (LNG) bagi mengukuhkan hubungan perdagangan kedua-dua negara di tengah-tengah ketidaktentuan gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian ditandatangani untuk menjamin keselamatan tenaga susulan penutupan Selat Hormuz akibat konflik Asia Barat.
  • Singapura memberi jaminan akan terus membekalkan bahan api kepada Australia selagi bekalan huluan mencukupi, menegaskan aliran bekalan berterusan.
  • Australia pembekal utama LNG kepada Singapura sekitar 32 peratus; negara itu juga berdepan krisis bekalan diesel dan stok petrol terhad.

Perjanjian berkenaan dimeterai bagi menjamin keselamatan tenaga kedua-dua pihak memandangkan Selat Hormuz ketika ini dilaporkan masih sebahagian besarnya ditutup akibat konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, memberi jaminan kepada rakan sejawatannya dari Australia, Anthony Albanese, bahawa republik itu akan terus membekalkan bahan api ke Australia selagi bekalan huluan mencukupi.

“Saya telah memberi jaminan kepada Perdana Menteri Albanese bahawa Singapura akan terus membekalkan bahan api ke Australia.

“Kami akan memastikan aliran ini berterusan,” kata beliau dalam satu sidang akhbar di sini.

Australia amat bergantung kepada import bagi kira-kira 90 peratus produk bahan api dengan hampir satu perempat daripada jumlah itu dibekalkan oleh Singapura.

Sebagai timbal balas, Australia yang merupakan pembekal LNG terbesar kepada Singapura, membekalkan kira-kira 32 peratus daripada keperluan gas asli republik itu.

Sementara itu, Albanese yang mengadakan lawatan ke penapis minyak dan terminal LNG di Pulau Jurong hari ini menyifatkan penyelarasan respons bersama rakan kongsi Asia sebagai amat penting dalam menghadapi krisis tenaga global.

“Ini adalah hubungan yang sangat penting pada ketika jaminan bekalan bahan api menjadi agenda utama di seluruh dunia akibat konflik di Asia Barat,” kata beliau.

Isu keselamatan tenaga kini menjadi tumpuan utama di Australia selepas dilaporkan sebanyak 216 stesen minyak atau kira-kira 2.7 peratus daripada jumlah keseluruhan stesen di negara itu kehabisan bekalan diesel minggu ini.

Menteri Tenaga Australia, Chris Bowen, memaklumkan bahawa negara itu kini mempunyai simpanan petrol yang hanya mampu bertahan selama 39 hari. – AFP