
KUALA LUMPUR, 9 April -Skuad sepak takraw wanita PDRM berjaya melangkah ke pusingan suku akhir Kejohanan Piala Emas Khir Johari selaku juara Kumpulan C selepas berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Sabah dan Pulau Pinang.
- Pasukan perlahan menyesuaikan diri, tetapi berjaya bangkit dan mengurangkan kesilapan di hujung permainan.
- Kapten Siti Hadinavilla dilayangkan kad kuning selepas empat kali ditegur pengadil kerana melengah-lengahkan perlawanan.
- Taktikal diubah; bermain dua tekong setelah feeder Veronica Asli tidak dapat diturunkan kerana dipinjamkan daripada pasukan lain.
Dalam aksi pertama yang berlangsung pada sebelah petang di Kompleks Sukan Jalan Raja Muda, Kampung Baru, PDRM menerusi regu Siti Norzubaidah Che Ab Wahab, Siti Hadinavilla Jumidil dan pemain import dari Thailand, Chawiwan Klongdi terpaksa bergelut sehingga set penentuan sebelum menang 9-15, 15-12, 15-13 ke atas regu Sabah.
Bagi perlawanan kedua menentang Pulau Pinang, tidak berdepan masalah untuk menang 15-11, 15-11.
Mengulas mengenai aksi menentang Sabah, Pengurus Pasukan PDRM, Deputi Supritendan Mohd Agus Mohd Ali berkata, pasukannya agak perlahan untuk menyesuaikan diri, sekali gus memberi kelebihan kepada lawan untuk meraih kemenangan pada set pertama sebelum bangkit menyamakan kedudukan pada set kedua.
“Alhamdulillah di set kedua kita bangkit, dan di set ketiga kita tengok memang mencabar, sehingga ke penghujung, mata perubahan itu adalah 13. Ketika 13 sama. Apabila mata peralihan 14, PDRM dapat dulu. Jadi Alhamdulillah kita dapat mengurangkan kesilapan di hujung-hujung dan seterusnya memenangi perlawanan pada petang ini,” katanya.
Bagaimanapun, perlawanan itu menyaksikan kapten pasukan PDRM, Siti Hadinavilla dilayangkan kad kuning selepas empat kali ditegur pengadil kerana melengah-lengahkan perlawanan.
Mohd Agus berkata, dalam perlawanan itu juga, pasukannya terpaksa melakukan sedikit perubahan taktikal dengan menurunkan dua tekong selepas feeder mereka Veronica Asli tidak dapat diturunkan dalam aksi tersebut kerana dia dipinjamkan daripada pasukan Sabah.
“Kalau kita tengok tadi Eva bermain, dia sebenarnya tekong, tapi disebabkan feeder kita adalah kita pinjam daripada pasukan Sabah, jadi bila menentang pasukan Sabah kita tak dapat turunkanlah feeder kita yang sebenarnya. Jadi kita bermain dengan dua tekong dan satu killer,” katanya lagi.