
MELAKA, 1 April – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka menerima peruntukan khusus sebanyak RM1.2 juta daripada Kerajaan Negeri Melaka bagi melaksanakan pelbagai program membabitkan perpaduan masyarakat sejak 2023.
- Peruntukan RM300,000 setahun untuk melaksanakan agenda integrasi kaum bagi memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan sosioekonomi negeri.
- Sebanyak 311 program melibatkan 72,212 peserta menunjukkan sambutan menggalakkan dan keberkesanan inisiatif di peringkat akar umbi.
- Program inklusif seperti Jalinan Mesra Perpaduan @KRT melibatkan agensi, KRT, NGO, GLC dan komuniti untuk membina Negara Bangsa.
Pengarahnya Intan Suhana Yusuff berkata jabatan itu menerima peruntukan sebanyak RM300,000 pada setiap tahun bagi melaksanakan agenda integrasi antara kaum sebagai jaminan kepada kesejahteraan sosioekonomi di negeri berkenaan.
“JPNIN Melaka menerima peruntukan itu menerusi bajet kerajaan negeri di bawah Tumpuan 9: Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, bertujuan memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat melalui pelaksanaan pelbagai program perpaduan yang secara langsung menyokong pencapaian agenda perpaduan nasional.
“Sepanjang pelaksanaan inisiatif ini, sebanyak 311 program berjaya dilaksanakan membabitkan penyertaan 72,212 orang, sekali gus mencerminkan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat serta keberkesanan usaha dalam memperkukuh perpaduan pada peringkat akar umbi,” katanya kepada Bernama.
Intan Suhana berkata antara program dilaksanakan di bawah peruntukan itu, melibatkan Program Jalinan Mesra Perpaduan @KRT sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), yang dilihat berupaya menyampaikan mesej perpaduan dengan lebih berkesan kepada golongan sasar secara menyeluruh.
Beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu membabitkan pelbagai lapisan masyarakat pelbagai kaum dan pihak berkepentingan termasuklah Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela (SRS), Sekretariat Rukun Negara (SRN), Kelab Rukun Negara (KRN), Tabika Perpaduan (TP), Taska Perpaduan (TSP), Mediator Komuniti (MK), agensi kerajaan Persekutuan, negeri, badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan-badan korporat dan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta ketua-ketua masyarakat dan komuniti setempat.
Untuk 2026, pelbagai program dirangka dan akan terus memberi impak positif kepada komuniti setempat melalui pendekatan yang menyeluruh dan inklusif, selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan bagi membangun Malaysia MADANI melalui Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
“Usaha ini bertepatan dengan tema “Bersama Membina Negara Bangsa” yang diterajui oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam mengukuhkan perpaduan ke arah pembinaan Negara Bangsa.
“Pelaksanaan inisiatif ini turut menyokong pencapaian Skor Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) Peringkat Negeri Melaka 2025 yang meletakkan negeri ini sebagai model kecemerlangan sosial dengan skor tinggi 0.816, iaitu yang kedua tertinggi di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata Melaka mencapai tahap perpaduan tinggi hasil tadbir urus dan pembangunan yang berkesan dan dasar pembangunan yang inklusif.
“Rakyat di negeri ini menunjukkan Etnos Nasional yang kuat, Hubungan Sosial Rentas Etnik yang baik dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, manakala Tadbir Urus dan Pembangunan yang telus dan persekitaran sosial yang harmoni menjadi kekuatan utama,” katanya. -BERNAMA