Kemalangan lima kenderaan bukan berpunca daripada pemandu mabuk

Kemalangan melibatkan lima kenderaan dan sebuah motosikal di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tualang Sekah, Malim Nawar

KAMPAR, 1 April – Polis mengesahkan kemalangan melibatkan lima kenderaan dan sebuah motosikal di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tualang Sekah, Malim Nawar, petang semalam bukan berpunca daripada pemandu mabuk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemalangan berlaku kira-kira 6.42 petang ketika ibu bapa mengambil anak pulang sesi petang.
  • Siasatan awal: sebuah kereta dipandu wanita bersama dua kanak-kanak keluar dari bahu jalan lalu dilanggar kereta dari arah bertentangan.
  • Kereta terbalik dan motosikal dilanggar hingga penunggang tercampak; beberapa cedera, tiada kematian, siasatan dan ujian lanjut dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud dalam kenyataan memaklumkan, kejadian kira-kira pukul 6.42 petang itu berlaku ketika ibu bapa mengambil anak pulang dari sekolah sesi petang.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta dipandu seorang wanita bersama dua kanak-kanak keluar dari bahu jalan sebelum dilanggar sebuah lagi kereta dari arah bertentangan.

“Perlanggaran itu menyebabkan kereta berkenaan terbalik dan sebuah lagi kereta tersebut melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang wanita hingga mangsa tercampak ke tengah jalan,” menurut kenyataan itu.

Beberapa mangsa dilaporkan cedera, namun tiada kematian dilaporkan setakat ini. Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang tanda pemandu berada di bawah pengaruh alkohol, namun ujian lanjut masih dijalankan.

Kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi.