
KANGAR, 29 Mac – Kesemua 104 sekolah di Perlis akan beroperasi seperti biasa esok susulan keadaan cuaca yang menunjukkan penurunan daripada gelombang haba ke tahap berjaga-jaga.
- Keputusan dibuat kerana bacaan suhu terkini semakin terkawal, menurut Pengarah JPN Perlis.
- Murid dibenarkan memakai pakaian sukan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca semasa.
- Sebarang pemakluman lanjut akan disalurkan melalui pengetua dan guru besar sekolah masing-masing.
- Pihak sekolah diminta memantau aktiviti luar bilik darjah untuk memastikan keselamatan dan kesihatan murid.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Rose Aza Che Arifin berkata keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan suhu terkini yang semakin terkawal.
Beliau berkata murid turut dibenarkan memakai pakaian sukan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca semasa.
“Sebarang pemakluman lanjut kepada ibu bapa dan murid akan disalurkan melalui pengetua serta guru besar di sekolah masing-masing,” katanya ketika dihubungi RTM.
Dalam pada itu, pihak sekolah diminta terus memantau aktiviti luar bilik darjah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid sentiasa terjamin.
MetMalaysia memaklumkan Perlis mencatatkan cuaca panas pada Tahap 1 (berjaga-jaga) setakat pukul 6 pagi tadi.
Status itu berdasarkan rekod suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius yang berterusan sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.