OP Khas Hari Raya Aidilfitri 2026: JPJ Pulau Pinang keluar 2,724 saman

Zulkifly Ismail (kanan) pada program Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena OP Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 di Terminal Bas Penang Sentral pada Khamis lepas / Facebook JPJ Negeri Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 29 Mac- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 2,724 saman sepanjang pelaksanaan Op Khas Hari Raya Aidilfitri 2026 bermula 13 Mac lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 19,900 kenderaan diperiksa; 1,492 tindakan termasuk penyitaan 13 kenderaan seperti motosikal, van dan kenderaan barangan.
  • Kesalahan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh mencatatkan jumlah tertinggi dengan 576 kes.
  • Operasi melibatkan kira-kira 245 anggota JPJ, pemeriksaan bas di depoh, audit terminal dan advokasi bersama PDRM serta pihak pelancongan.

Pengarahnya, Zulkifly Ismail berkata sebanyak 19,900 kenderaan diperiksa dengan 1,492 daripadanya dikenakan tindakan termasuk penyitaan 13 kenderaan seperti motosikal, van dan kenderaan barangan.

Zulkifly berkata, kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 576 kes.

“Sebahagian besar kesalahan adalah membabitkan kenderaan persendirian dengan 1,890 kereta dan 500 motosikal dikenakan tindakan. Turut diambil tindakan terhadap 253 kenderaan barangan melebihi tujuh kilogram, 83 kenderaan di bawah tiga tan dan 19 bas perkhidmatan awam,” katanya.

Zulkifly berkata, operasi tersebut melibatkan kira-kira 245 anggota JPJ bagi pelaksanaan pemeriksaan bas di depoh, audit di terminal utama dan rondaan penguatkuasaan.

Beliau ditemui pemberita demikian pada Program Advokasi JPJ bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Syarikat Konsortium Pelancongan Bumiputra Sdn Bhd sempena Aidilfitri di Terminal Bas Sungai Nibong di sini.