Ringgit diunjur sekitar 4.00 minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Ringgit dijangka diniagakan sekitar paras 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu hadapan susulan tekanan berterusan daripada konflik Asia Barat dan pengukuhan dolar AS sebagai aset selamat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga minyak mentah Brent kekal tinggi sekitar AS$100 setong, mempengaruhi sentimen pasaran.
  • Kebimbangan inflasi global meningkat dan mendorong jangkaan dasar monetari lebih ketat oleh Rizab Persekutuan AS.
  • Ringgit mengalami turun naik dan kehilangan momentum, dipacu permintaan dolar selamat serta keraguan gencatan senjata di Iran.

Sentimen pasaran turut dipengaruhi harga minyak mentah Brent yang kekal tinggi sekitar AS$100 setong.

Sekali gus meningkatkan kebimbangan inflasi global dan mendorong jangkaan dasar monetari lebih ketat oleh Rizab Persekutuan AS.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, ringgit mengalami turun naik ketara antara RM3.92 hingga RM3.99 berbanding dolar AS.

Unit tempatan juga kehilangan momentum kenaikan dan mencecah RM4.00 pada tengah hari Jumaat ekoran peningkatan permintaan terhadap dolar AS sebagai mata wang selamat.

Trend itu berpunca daripada keraguan yang meningkat terhadap kemungkinan gencatan senjata di Iran.

Mata wang tempatan juga diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama minggu ini, sejajar peningkatan permintaan terhadap dolar AS serta ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.