Kebakaran longgokan kayu di Tanjung Agas padam sepenuhnya

Kebakaran kebun sawit dan longgokan kayu di Tanjung Agas berjaya dipadam sepenuhnya selepas tiga hari operasi pemadaman/Foto Bomba

PORT DICKSON, 28 Mac – Kebakaran longgokan kayu dan kebun sawit di Jalan Ladang Kampung Tanjung Agas di sini, berjaya dipadam sepenuhnya petang tadi selepas tiga hari operasi pemadaman dijalankan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran bermula 26 Mac dan melibatkan kira-kira 50 ekar, merebak secara bertompok-tompok.
  • Serangan langsung, relay pumping 1,200 kaki dan jengkaut bina fire break; 17 anggota terlibat dengan bantuan PETRONAS, PDRM, JAS.
  • Tiada mangsa dilaporkan; JBPM menasihatkan orang ramai berwaspada ketika cuaca panas untuk elak kebakaran terbuka.

Kebakaran yang bermula pada 26 Mac lalu itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 50 ekar dengan api merebak secara bertompok-tompok.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan dalam kenyataan berkata, operasi hari pertama melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Kemang dengan bantuan BBP Rantau menggunakan teknik serangan langsung serta kaedah ‘relay pumping’ sejauh 1,200 kaki dari sumber air terbuka.

“Operasi hari kedua diteruskan dengan pembahagian sektor pemadaman melibatkan Sektor B dan C, selain penggunaan jentera berat seperti jengkaut bagi membina ‘fire break’ bagi menghalang api daripada terus merebak.

“Seramai 17 anggota dari beberapa balai termasuk BBP Telok Kemang, Rantau, Gemas dan Tampin terbabit dalam operasi dengan bantuan agensi lain seperti PETRONAS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Operasi hari ketiga yang bermula seawal 9 pagi memberi tumpuan kepada baki kebakaran di Sektor C sebelum api berjaya dipadam sepenuhnya pada 4.30 petang.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat sepanjang operasi.

JBPM menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terutama ketika cuaca panas bagi mengelakkan kebakaran terbuka yang boleh mengancam keselamatan serta alam sekitar.