
KUALA LUMPUR, 28 Mac – Atlet taekwondo wanita negara, Nur Humaira Abdul Karim giat mempersiapkan diri bagi mengharungi misi kelayakan ke Sukan Asia yang akan berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun pada September nanti.
- Prestasi konsisten sejak awal tahun menjadi pemangkin keyakinan menghadapi kejohanan penting.
- Berpindah ke kategori gaya bebas, tinggalkan gandingan campuran; fokus prestasi dan elak kecederaan.
- Sasaran utama menempah slot negara melalui Kejohanan Asia di Mongolia dan merancang persiapan berasingan untuk Kejohanan Dunia.
Beliau menyifatkan prestasi yang konsisten sejak awal tahun ini menjadi pemangkin untuk terus melangkah lebih yakin menghadapi beberapa kejohanan penting yang telah dirancang.
“Kita berjaya kekalkan momentum selepas apa yang berlaku tahun lalu dan kini fokus kepada kejohanan seterusnya, termasuk kemungkinan ke Macedonia pada April sebelum ke Kejohanan Asia di Mongolia pada Mei yang juga merupakan pentas kelayakan,” katanya.
Mengulas lanjut, Humaira kini kini berdepan cabaran berbeza apabila beralih ke kategori baharu.
“Saya tidak lagi bermain dalam acara gandingan campuran (mixed pair), sebaliknya fokus kepada gaya bebas (freestyle) yang merupakan kategori baharu buat saya. Jadi keutamaan sekarang adalah memastikan prestasi terbaik sambil mengelakkan kecederaan kerana kategori ini memerlukan banyak pergerakan dan lompatan,” jelasnya.
Tambah Nur Humaira, sasaran utama ketika ini adalah memastikan slot ke Sukan Asia dapat direalisasikan.
“Untuk Kejohanan Asia ini, sasaran utama adalah menempah slot buat Malaysia. Peluang yang ada agak terhad, jadi saya perlu pastikan prestasi terbaik untuk melayakkan negara,” katanya.
Hanya satu slot diperuntukkan untuk setiap negara bagi setiap kategori, namun Malaysia berpeluang menghantar dua penyertaan menerusi acara berbeza.
Dalam masa sama, Nur Humaira turut merancang persiapan berasingan bagi menghadapi Kejohanan Dunia yang bakal disertainya selepas misi kelayakan tersebut.