
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Malaysia perlu memperkasa masyarakat kelas pertengahan bagi memastikan permintaan domestik kekal menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
- Memperkasa kelas pertengahan melalui penciptaan pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat.
- Kelas menengah dianggap nadi pertumbuhan ekonomi domestik, penting untuk kestabilan apabila perdagangan global mencabar.
- Pemilik modal perlu sediakan peluang pekerjaan bagi mengekalkan pasaran domestik atau serantau ketika pasaran lain terjejas.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata usaha itu termasuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat.
Menurut beliau, pemerkasaan masyarakat kelas pertengahan penting memandangkan golongan itu merupakan nadi kepada pertumbuhan ekonomi domestik.
“Dalam keadaan perdagangan global yang semakin mencabar, pemilik modal juga mempunyai kepentingan untuk memastikan kewujudan kelas menengah yang kukuh melalui penyediaan pekerjaan agar negara mempunyai pasaran domestik atau serantau untuk bergantung sekiranya pasaran lain terjejas,” katanya pada Syarahan Peringatan Ulang Tahun ke-35 Institut Percukaian Bertauliah Malaysia (CTIM).
Acara tersebut diadakan sempena pembukaan rasmi pejabat baharu CTIM di Plaza Sentral, yang turut melambangkan kemajuan, kesediaan dan hala tuju baharu seiring usaha membentuk landskap percukaian Malaysia untuk masa depan.