RISDA galak pemulihan kebun getah terbiar tingkat pengeluaran hasil

FOTO HIASAN

KULIM, 15 Mac – Pemilik kebun getah terbiar yang tidak diusahakan disaran mengusahakan semula kebun masing-masing bagi meningkatkan pengeluaran hasil getah negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Galakkan pekebun buka semula kebun getah terbiar untuk meningkatkan pengeluaran dan pendapatan pekebun serta penoreh.
  • RISDA jalankan Program Pemulihan Kebun Getah Terbiar bagi menoreh semula kebun tidak diusahakan selama dua tahun.
  • RISDA menyediakan bantuan seperti set membuka torehan, baja, penyelenggaraan, khidmat nasihat teknikal dan input pertanian.
  • Penanaman semula dan pembukaan kebun baharu membuka peluang bantuan, keusahawanan, agromakanan serta pembangunan modal insan dan institusi.

Penasihat Program dan Aktiviti KEDA Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Muhar Hussain berkata langkah itu bukan sahaja mampu menambah hasil pengeluaran getah negara, malah membantu meningkatkan pendapatan pemilik kebun dan penoreh.

Menurut beliau, agensi seperti Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sentiasa berusaha memastikan kebun yang tidak bertoreh dapat diusahakan semula melalui pelbagai program.

Antaranya Program Pemulihan Kebun Getah Terbiar yang bertujuan memastikan kebun getah yang tidak diusahakan selama dua tahun dapat ditoreh semula.

“RISDA turut menyediakan pelbagai bantuan kepada pekebun kecil termasuk set membuka torehan, baja serta penyelenggaraan kebun,” katanya.

Beliau berkata penanaman semula getah dan pembukaan kebun getah baharu juga menjadi pintu masuk kepada pekebun kecil untuk menikmati pelbagai bantuan yang disediakan RISDA.

Bantuan tersebut merangkumi khidmat nasihat teknikal, input pertanian, prasarana ladang serta program peningkatan ekonomi melalui keusahawanan dan agromakanan, selain pembangunan modal insan dan institusi.

Datuk Muhar berkata demikian selepas menghadiri Program Kemakmuran Pekebun Kecil Parlimen Kulim Bandar Baharu di Pusat Aktiviti Kampung Teluk Sera, di sini.

Sempena program itu, beliau turut menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian kepada beberapa penerima terlibat.