
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Ekonomi Malaysia masih kekal berdaya tahan di sebalik ketidaktentuan global susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.
- Asas ekonomi negara kukuh disokong indikator positif dan prestasi pasaran buruh yang menggalakkan.
- Negara terdedah kepada risiko kenaikan inflasi kerana status ekonomi terbuka bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
- Sektor tenaga berpeluang berkembang melalui pempelbagaian rakan dagangan dan pasaran baharu seperti India serta pemantapan sumber tenaga.
Ketua Penyelidikan MBSB Research, Imran Yassin berkata, asas ekonomi negara masih kukuh disokong pelbagai indikator positif termasuk prestasi pasaran buruh yang menggalakkan.
Beliau bagaimanapun memberi amaran negara ini masih terdedah kepada kesan konflik termasuk risiko kenaikan inflasi, memandangkan kedudukannya sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan.
“Jika konflik ini berlarutan dalam tempoh yang lebih panjang, kita mungkin akan melihat peningkatan inflasi. Namun pada masa sama, Malaysia masih mempunyai daya tahan kerana permintaan domestik yang kukuh serta pasaran pekerjaan yang stabil. Jadi, kesannya banyak bergantung kepada tempoh konflik tersebut,” katanya kepada RTM.
Mengulas lanjut, dalam keadaan semasa, Malaysia berpeluang meraih manfaat, khususnya dalam sektor tenaga, dengan strategi mempelbagaikan rakan dagangan memperluas eksport gas asli .
“Antara negara yang mengimport gas asli dari Malaysia ketika ini ialah Jepun, China dan Korea Selatan. Justeru, Malaysia juga boleh mempertimbangkan untuk memperluas pasaran dengan merundingkan pasaran baharu seperti India.
“Kita sedia maklum bahawa sebahagian besar keperluan gas India ketika ini diimport dari negara-negara Teluk. Dalam situasi semasa, mereka juga mungkin akan melihat keperluan untuk mempelbagaikan sumber import tenaga mereka. Di sinilah Malaysia berpotensi mengambil peluang tersebut,” katanya lagi.
Tambah beliau, usaha mempelbagaikan sumber tenaga juga perlu dipergiatkan supaya dapat meminimumkan impak ketidaktentuan harga tenaga global terhadap ekonomi negara.