Kerajaan mungkin semak harga RON95 jika minyak mentah kekal tinggi

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan/RTM

KUALA LUMPUR, 9 Mac -Kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan pelarasan harga bahan api RON95 sekiranya harga minyak mentah global kekal tinggi dalam tempoh berpanjangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga minyak mentah tinggi boleh menambah beban fiskal antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setiap suku jika RON95 kekal.
  • Keputusan dasar lebih sesuai dibuat apabila pasaran minyak kembali stabil; tindakan segera semasa ketidakstabilan boleh menimbulkan kesan tambahan.
  • Kerajaan boleh menyalurkan subsidi lebih bersasar kepada pertanian, pembuatan dan logistik untuk kurangkan kesan kepada kos sara hidup.
  • Ketegangan geopolitik menambah ketidakpastian pasaran; mempelbagaikan sumber pendapatan penting untuk memastikan kestabilan fiskal jangka panjang.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata, sekiranya harga minyak mentah Brent berada sekitar AS$100 setong, kerajaan berdepan tambahan beban fiskal antara RM3 bilion hingga RM5 bilion setiap suku tahun jika RON95 terus kekal pada RM1.99 seliter.

“Beban fiskal memang akan meningkat dalam keadaan harga minyak semasa, namun ia masih bergantung kepada tempoh harga tersebut dapat kembali stabil. Buat masa ini harga masih belum menunjukkan kestabilan kerana dalam tempoh tujuh hari lalu ia terus mencatat aliran menaik.

“Jika tindakan segera diambil ketika pasaran masih tidak stabil, ia berpotensi menimbulkan kesan tambahan. Sebab itu biasanya keputusan dasar dibuat apabila keadaan pasaran lebih stabil,” katanya.

Selain pelarasan harga, kerajaan juga boleh mempertimbangkan penyaluran subsidi secara lebih bersasar kepada sektor penting seperti pertanian, pembuatan dan logistik bagi mengurangkan kesan kepada kos sara hidup.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang keputusan dasar perlu dibuat dengan berhati-hati memandangkan pasaran minyak global ketika ini masih tidak menentu berikutan ketegangan geopolitik.

Dalam masa sama, keputusan kerajaan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negara bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil petroleum dilihat mampu memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan dalam jangka panjang.