Dua maut, tiga parah kereta rempuh zon pejalan kaki di Leipzig

FOTO REUTERS

LEIPZIG, 5 Mei – Penduduk Leipzig dikejutkan dengan insiden sebuah kereta merempuh kawasan pejalan kaki di pusat bandar itu pada Isnin, mengorbankan dua orang dan menyebabkan tiga lagi cedera parah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menahan pemandu lelaki warga Jerman berusia 33 tahun; tiada ancaman lanjut disahkan.
  • Datuk Bandar Burkhard Jung berkata bandar kini berkabung berikutan tragedi.
  • Seorang penduduk, Alexander Will, berkata beliau masih terkejut dan memerlukan masa untuk menerima kejadian.
  • Jerman berdepan beberapa siri rempuhan kenderaan dan tikaman, ada dikaitkan dengan motif politik, agama atau kesihatan mental.

Polis menahan pemandu lelaki warga Jerman berusia 33 tahun sejurus kejadian dan mengesahkan tiada lagi ancaman lanjut kepada orang awam.

Datuk Bandar Leipzig, Burkhard Jung berkata, bandar itu kini berkabung susulan tragedi berkenaan.

“Kami sedang meratapi kehilangan dua nyawa, selain tiga mangsa yang cedera parah serta beberapa lagi yang turut tercedera,” katanya dalam taklimat media.

Seorang penduduk, Alexander Will dari Brandenburg, yang berada berhampiran lokasi kejadian selepas insiden itu berkata, beliau masih terkejut dan memerlukan masa untuk menerima apa yang berlaku.

“Saya benar-benar rasa seperti di rumah sendiri di Leipzig. Ini bandar yang saya pilih untuk tinggal,” katanya.

Jerman sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan beberapa siri serangan rempuhan kenderaan dan tikaman, dengan sebahagiannya dikaitkan dengan motif politik, agama atau masalah kesihatan mental.

Tahun lalu, dua maut di Mannheim selepas sebuah kereta merempuh sekumpulan pejalan kaki, hanya beberapa minggu selepas serangan sama di Munich yang mengorbankan dua individu dan mencederakan lebih 40 yang lain, termasuk ramai kanak-kanak.

Pada Disember 2024, beberapa lagi terbunuh dalam serangan rempuhan di pasar Krismas di Magdeburg, beberapa bulan selepas serangan tikaman ketika festival di Solingen.-REUTERS