
ALOR SETAR, 9 Mac – Seramai 166 jemaah umrah bawah kendalian Dhia Travel Sdn Bhd yang terkandas di Mekah dan Madinah sejak 28 Februari lalu selamat tiba di tanah air.
- Jemaah umrah terkandas disebabkan konflik di Asia Barat yang menjejaskan operasi penerbangan.
- Dhia Travel mengatur pemulangan berperingkat dengan penerbangan terus Saudia Airlines dari Madinah dan Jeddah.
- Syarikat menanggung lebih RM400,000 kos tiket serta menyediakan penginapan dan makanan percuma; jemaah mengucap syukur.
Kesemua jemaah dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Lembah Klang itu terkandas berikutan konflik di Asia Barat yang menyebabkan operasi penerbangan terjejas.
Pengarah Urusan Dhia Travel Sdn Bhd, Mohd Hidayat Mohammad berkata kumpulan pertama seramai 65 jemaah berlepas dari Lapangan Terbang Madinah, manakala kumpulan kedua seramai 61 jemaah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah pada 7 Mac lalu.
Menurutnya, kumpulan ketiga yang juga kumpulan terakhir melibatkan seramai 40 jemaah berlepas dari lapangan terbang sama semalam.
Kesemua jemaah menaiki penerbangan Saudia Airlines secara terus dari Jeddah dan Madinah sebelum selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) secara berperingkat pada Ahad dan semalam.
“Tiada perasaan lain selain syukur kerana kami dapat membawa pulang jemaah dengan selamat. Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan. Ini satu kepuasan buat pihak Dhia Travel kerana dapat menjaga kebajikan dan membawa jemaah pulang sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui.
Bagi salah seorang jemaah umrah yang terlibat, Mohd Hafiz Mohd Salleh menyatakan penghargaan kepada pihak yang terlibat.
“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dhia Travel atas bantuan yang diberikan sepanjang kami terkandas, termasuk penginapan dan makanan percuma selama tiga hari.”
Kos tiket penerbangan pulang kesemua jemaah terbabit yang berjumlah lebih RM400,000 ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pengendali umrah berkenaan.