
KUALA LUMPUR, 9 Mac– Malaysia kekal menyokong hak Iran mempertahan kedaulatan dan kemerdekaan negaranya.
- Kerajaan menghubungi pemimpin negara Islam untuk memantau perkembangan konflik dan berbincang mengenai situasi semasa.
- Malaysia menerima pengiktirafan dan perhatian negara Asia Barat, termasuk Turkiye, Pakistan dan Afghanistan, bagi membincangkan situasi semasa.
- Perdana Menteri melahirkan kebimbangan mengenai tempias konflik yang menjejaskan negara jiran seperti negara Teluk, Azerbaijan dan Turkiye.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sejak konflik berlaku, Kuala Lumpur tanpa henti terus berhubung dengan beberapa pemimpin negara Islam bagi mengetahui perkembangan semasa.
Menurut beliau, Malaysia menerima banyak pengiktirafan dan perhatian daripada negara-negara di rantau Asia Barat yang mahu berbincang mengenai situasi semasa, termasuk pemimpin dari Turkiye, Pakistan dan Afghanistan.
‘Alhamdulillah kerana pengiktirafan kepada Malaysia, ramai teman-teman dari negara Teluk, Timur Tengah, Turkiye, Pakistan, Afghanistan terus menjalinkan hubungan. Dan petang nanti pun ada lagi permohonan panggilan telefon dengan Emir Kuwait dan satu dua negara lain untuk merenung dan memikir bersama kemelut yang berlaku ,” katanya.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan Malaysia sememangnya tidak bersetuju dengan sebarang tindakan ganas terutama percubaan menakluk dan menganggu-gugat negara lain.
Situasi di Asia Barat tegang sejak 28 Februari lepas apabila Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
Meskipun konflik antara Iran dengan AS dan Israel masih berterusan, Timbalan Menteri Luar Iran Saeed Khatibzadeh bagaimanapun dilaporkan berkata Iran tidak menutup Selat Hormuz yang merupakan laluan laut penting bagi pengangkutan tenaga global.
Selat Hormuz, selat sempit yang terletak di antara Iran dan Oman dengan kelebaran 55 hingga 95 kilometer itu merupakan antara laluan perkapalan utama bagi sektor industri gas dan minyak dunia.
Dalam pada itu Perdana Menteri menzahirkan simpati terhadap negara di Asia Barat yang terkesan dengan krisis ketegangan membabitkan Iran, AS dan Israel ketika ini.
“Malaysia tidak bersetuju dengan keganasan, kerakusan kuasa atau percubaan menakluk serta mengganggu-gugat negara lain,” katanya.
Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kesan serangan balas yang turut menjejaskan negara jiran apabila tempias konflik itu dilaporkan berlaku di beberapa kawasan termasuk negara Arab Teluk, selain Azerbaijan dan Turkiye.