Masa depan sukan permotoran negara bakal suram tanpa sokongan kerajaan

Datuk Razlan Razali – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Landskap sukan permotoran negara dijangka berhadapan fasa sukar sekiranya ekosistem sukan tersebut dinafikan daripada menerima sokongan dan bantuan kewangan daripada kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Razlan gusar isu dana pelumba; sukan permotoran perlukan komitmen kewangan berterusan untuk bakat yang bersaing di pentas dunia.
  • Bantuan kerajaan sejak lama menjadi nadi pembangunan; ketiadaannya boleh merencatkan pertumbuhan bakat dan kesinambungan penyertaan antarabangsa.
  • Beliau menggesa syarikat korporat tampil serta KBS dan SIC sedang runding dengan Kementerian Kewangan mencari mekanisme sokongan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, menzahirkan kegusaran beliau terhadap perkembangan terbaharu membabitkan isu dana pelumba negara.

Menurut beliau, sifat sukan permotoran yang memerlukan kos pengoperasian tinggi menuntut komitmen kewangan berterusan, terutamanya bagi bakat-bakat yang telah membuktikan keupayaan mereka bersaing di pentas dunia.

Beliau menegaskan bantuan kerajaan merupakan nadi utama dalam pembangunan sukan tersebut sejak sekian lama.

Ketiadaan sokongan ini dikhuatiri akan merencatkan pertumbuhan bakat baharu serta memadamkan kesinambungan penyertaan Malaysia dalam kejohanan antarabangsa.

Sebagai alternatif, beliau menyarankan agar syarikat-syarikat korporat tempatan tampil menghulurkan bantuan bagi memastikan kelangsungan industri permotoran negara tidak terputus.

Isu ini timbul susulan kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol, yang memaklumkan bahawa setakat ini belum ada peruntukan dana khusus disediakan buat sukan permotoran.

Walau bagaimanapun, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama SIC dilaporkan sedang dalam proses perundingan dengan Kementerian Kewangan bagi meneliti mekanisme sokongan bersesuaian untuk atlet berpotensi tinggi.