12,000 pek bubur lambuk diagih kepada komuniti Putrajaya

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir / RTM

PUTRAJAYA, 7 Mac – Program gotong-royong memasak bubur lambuk anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) bersama komuniti setempat berjaya menyediakan sebanyak 12,000 pek bubur lambuk untuk diagihkan kepada masyarakat sekitar Putrajaya sempena Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 350 peserta bergotong royong mengacau 24 periuk bubur lambuk, menunjukkan penyertaan aktif komuniti dan agensi tempatan.
  • Agihan melibatkan surau, anggota keselamatan, hospital termasuk Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara serta pengunjung bazar Ramadan.
  • Program kerjasama antara badan tempatan, MPPWP dan rakan strategik seperti Tenaga Nasional Berhad serta Stella Kasih mengukuhkan semangat kebersamaan Ramadan.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir berkata program tersebut bukan sahaja menyemarakkan sambutan Ramadan, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara masyarakat dan agensi terlibat.

Program Bubur Lambuk Wilayah Persekutuan Putrajaya Bersama Komuniti itu berlangsung di Kompleks Kejiranan Presint 9 dengan penglibatan lebih 350 peserta terdiri daripada komuniti setempat, agensi kerajaan serta pelbagai pertubuhan.

“Pada hari ni melibatkan hampir 350 ke 400 orang lah yang terlibat yang mana kita bersama-sama bergotong royong, mengacau bubur lambuk sebanyak 24 periuk.”

Sebanyak 24 periuk bubur lambuk dimasak secara gotong-royong sebelum diagihkan kepada komuniti setempat, surau-surau sekitar Putrajaya serta anggota keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam.

Agihan turut melibatkan hospital sekitar Putrajaya termasuk Hospital Putrajaya dan Institut Kanser Negara selain pengunjung bazar Ramadan di beberapa presint.

Program tersebut merupakan kerjasama antara PPj, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Putrajaya serta beberapa rakan strategik termasuk Tenaga Nasional Berhad dan Stella Kasih Medical Centre Putrajaya bagi mengukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat sepanjang bulan Ramadan.