Serangan terhadap Iran gagal capai matlamat – Araghchi

Foto AFP

TEHRAN, 6 Mac – Objektif serangan terkini terhadap Iran gagal mencapai matlamat yang diinginkan, kata Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi, pada Khamis, dalam temu bualnya bersama NBC News.

RINGKASAN BERITA AI
  • Araghchi menegaskan institusi kerajaan Iran kekal berfungsi; komander terkorban telah diganti.
  • Araghchi berkata pasukan Iran melancarkan serangan balas ke atas sasaran di Israel dan kedudukan yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat.
  • Araghchi: Iran tidak meminta gencatan senjata atau rundingan dengan Amerika Syarikat; tidak berniat menutup Selat Hormuz buat masa ini.
  • Araghchi mengutuk serangan terhadap kapal tentera laut di Lautan Hindi sebagai jenayah perang; Sri Lanka beri perlindungan kepada IRIS Bushehr dengan 208 anak kapal.

Beliau mempersoalkan hasil operasi itu dan menegaskan pihak yang melancarkan serangan mungkin beranggapan mereka mampu meraih kemenangan pantas serta memaksa perubahan dalam struktur negara, namun institusi kerajaan Iran terus berfungsi.

Araghchi berkata komander tentera yang terkorban sudah digantikan dan kepimpinan negara juga boleh diganti melalui mekanisme perlembagaan sekiranya perlu, sambil menegaskan struktur negara masih utuh serta beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata walaupun Iran menjadi sasaran, pasukan Iran melancarkan serangan balas terhadap beberapa sasaran di Israel serta kedudukan yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat.

Araghchi turut menegaskan, bahawa republik Islam itu tidak memohon gencatan senjata mahupun rundingan dengan Amerika Syarikat, sambil menambah bahawa Iran buat masa ini tidak bercadang untuk menutup Selat Hormuz.

“Kami tidak meminta gencatan senjata. Kami juga tidak melihat sebarang sebab mengapa kami perlu berunding dengan Amerika Syarikat… Kami telah berunding dengan mereka sebanyak dua kali dan setiap kali mereka menyerang kami ketika rundingan sedang berlangsung,

“Buat masa ini kami tidak berniat untuk menutupnya (Selat Hormuz), namun jika perang berterusan, kami akan mempertimbangkan semua kemungkinan.” kata Araghchi kepada NBC News.

Araghchi juga mengecam serangan terhadap sebuah kapal tentera laut kira-kira 2,000 batu dari pantai Iran sambil menegaskan kapal yang tenggelam di Lautan Hindi itu tidak bersenjata dan membawa pegawai yang sedang menjalani latihan.

Menurutnya, menyasarkan kapal sedemikian adalah jenayah perang kerana kapal itu tidak terlibat dalam operasi tempur ketika serangan berlaku.

Sri Lanka pada Khamis memberikan perlindungan kepada sebuah kapal tentera laut Iran bersama 208 anak kapalnya, sehari selepas sebuah kapal selam Amerika Syarikat menenggelamkan kapal frigat Iran di Lautan Hindi.

Kapal sokongan IRIS Bushehr memohon kebenaran untuk berlabuh di Sri Lanka selepas Amerika Syarikat menyerang frigat IRIS Dena yang dalam perjalanan pulang selepas menyertai latihan tentera laut anjuran India dari 15 hingga 25 Februari di Visakhapatnam.