All England: Soon Huat-Shevon tersingkir, cabaran beregu campuran negara berakhir

Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie / FOTO FAIL BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 MacCabaran Malaysia dalam acara beregu campuran di Kejohanan All England berakhir selepas pasangan profesional negara, Goh Soon Huat–Shevon Lai Jemie tersingkir pada pusingan kedua, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gandingan profesional Goh Soon Huat–Shevon Lai tersingkir pada pusingan kedua All England selepas tewas kepada pasangan China.
  • Kekalahan mengekalkan dominasi lawan China dengan rekod pertemuan 10-1 memihak mereka.
  • Tamatnya cabaran beregu campuran Malaysia selepas wakil lain turut tersingkir awal, termasuk juara dunia Chen Tang Jie–Toh Ee Wei.

Pasangan ranking ke-11 dunia itu gagal menyaingi kehebatan gandingan China, Jiang Zhen Bang–Wei Ya Xin apabila tewas straight set 16-21, 18-21 dalam tempoh 42 minit pada kejohanan berprestij itu.

Kekalahan tersebut menyaksikan rekod pertemuan kedua-dua pasangan terus memihak kepada gandingan China itu dengan 10 kemenangan berbanding hanya satu milik pasangan negara daripada keseluruhan 11 pertemuan.

Keputusan itu sekali gus menamatkan cabaran Malaysia dalam acara beregu campuran selepas empat lagi wakil negara tersingkir seawal pusingan pertama di kejohanan bertaraf Super 1000 itu.

Antara yang gagal melepasi halangan awal ialah pasangan juara dunia, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei yang turut terkandas pada aksi pembukaan.

Sebagai rekod, Soon Huat-Shevon pernah mara sehingga ke suku akhir pada edisi tahun lalu sebelum tewas kepada Jiang Zhen Bang yang ketika itu bergandingan dengan Huang Dong Ping.