
IPOH, 3 Mac – Seorang pengurus syarikat didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki minyak diesel tanpa kebenaran, tiga tahun lalu.
- Pengurus syarikat didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah memiliki diesel tanpa kebenaran.
- Jumlah diesel dirampas ialah 6,633 liter di premis Kawasan Perindustrian Silibin.
- Pertuduhan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1).
- Wang hasil jualan lebih RM17,000 dan empat lori tangki dilucut hak kepada kerajaan.
Tertuduh, Yap Shao Pin, 31 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku pengurus syarikat T&L Supply Trading Sdn. Bhd. didapati memiliki barang kawalan berjadual, iaitu minyak diesel sebanyak 6,633 liter tanpa kebenaran yang sah.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Silibin, di sini, kira-kira pukul 1.00 tengah hari pada 5 Januari 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohamad Nazreen Zabarudin, manakala tertuduh diwakili peguam, Dahlia Tan.
Mahkamah turut memerintahkan wang hasil jualan minyak diesel yang dirampas berjumlah lebih RM17,000 serta empat buah lori tangki dilucut hak kepada kerajaan.