
WEST YORKSHIRE, 1 Mac – Ketiadaan kelibat tonggak penyerang, Erling Haaland nyata tidak menjejaskan momentum Manchester City apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Leeds United dalam pertemuan Liga Perdana Inggeris di Ellan Road awal pagi tadi.
- City menang 1-0 ke atas Leeds walau tanpa Erling Haaland kerana kecederaan ringan.
- Antoine Semenyo menjaringkan gol kemenangan, gol keenamnya dalam 11 perlawanan bersama City.
- Kemenangan merapatkan jurang dengan Arsenal kepada dua mata dalam perlumbaan kejuaraan.
- Pep Guardiola tekankan pentingnya fokus satu perlawanan demi satu perlawanan dalam perebutan kejuaraan.
Keputusan itu merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Arsenal kepada hanya dua mata.
Haaland tidak disenaraikan bagi perlawanan di bandar kelahirannya kerana mengalami kecederaan ringan.
Bagaimanapun Pengurus City, Pep Guardiola menyifatkannya sebagai bukan masalah besar.
Tanpa penyerang kebangsaan Norway itu, City gagal mempamerkan aksi di tahap sebenar, namun mereka tetap berjaya meraih tiga mata berharga.
Leeds bermula garang tetapi gagal memanfaatkan peluang selepas Dominic Calvert-Lewin mensia-siakan peluang keemasan seawal minit ketiga apabila rembatannya tersasar.
City akhirnya menemui gol kemenangan menerusi Antoine Semenyo yang meledakkan jaringan peribadi keenamnya dalam 11 perlawanan sejak menyertai pasukan bulan lalu.
Guardiola mengakui kemenangan tersebut amat penting dalam perebutan kejuaraan.
“Ia kemenangan besar untuk terus kekal dalam saingan. Kami perlu fokus satu perlawanan demi satu perlawanan,” katanya, sambil mengingatkan bahawa City dan Arsenal masih bersaing dalam empat kejohanan musim ini.
Suasana tegang tercetus sebaik wisel penamat dibunyikan. Pengurus Leeds, Daniel Farke, dilayangkan kad merah selepas mempersoalkan keputusan pengadil Peter Bankes.
Kini tekanan beralih kepada Arsenal yang dijadual melayan kunjungan Chelsea dalam aksi tumpuan awal pagi esok.-AFP