Situasi bola mati jadi kelebihan Liverpool

 Gaya Mac Allister selepas menjaringkan gol ketiga Liverpool / AFP

ANFIELD, 1 Mac – Ketajaman Liverpool dalam situasi bola mati berhasil menundukkan West Ham United 5-2 di Anfield walaupun prestasi keseluruhan dilihat masih belum konsisten.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ketiga-tiga gol separuh masa pertama hasil sepakan penjuru menonjolkan kelebihan bola mati Liverpool.
  • Arne Slot tekankan perkembangan ketara pasukan dalam aspek bola mati sejak awal tahun.
  • Kejayaan dari bola mati beri impak positif dan tingkatkan keyakinan pasukan.
  • Kemenangan itu meletakkan Liverpool tiga mata di depan Chelsea di tempat kelima.

Kesemua tiga gol pada separuh masa pertama hadir daripada sepakan penjuru, membolehkan tuan rumah mengawal perlawanan.

Hugo Ekitike membuka jaringan pada minit ke-12, diikuti Virgil van Dijk pada minit ke-28.

The Reds terus menambah jaringan menerusi Alexis Mac Allister untuk gol ketiga beberapa minit sebelum rehat.

Gol yang dicari-cari Hammers akhirnya tiba pada babak kedua menerusi Tomas Soucek kira-kira empat minit selepas perlawanan bersambung.

Belum puas dengan kelebihan dua gol, Liverpool terus merancakkan asakan dan hasilnya, Cody Gakpo berjaya menyumbat masuk gol keempat pada minit ke-70,

Selang lima minit kemudian pula, pelawat berjaya mendapat gol kedua hasil jaringan Valentin Castellanos.

Usaha bertali arus West Ham untuk menambah lagi jaringan menemui jalan buntu, sebaliknya Liverpool dihadiahkan gol kelima selepas pemain pertahanan, Axel Disasi menjaringkan gol sendiri.

Pengurus Liverpool, Arne Slot, menekankan bahawa kemampuan pasukannya dalam situasi bola mati adalah bukti peningkatan sejak awal tahun ini.

“Kami telah berkembang dengan ketara dalam aspek bola mati. Ia mengubah corak permainan kami sepenuhnya. Walaupun sebelum ini kami pernah bermain lebih baik ketika tewas, sekarang menjaringkan gol daripada bola mati membuatkan segalanya kelihatan lebih positif dan memberi keyakinan kepada pasukan,” katanya.

Kemenangan ini turut menyaksikan Liverpool kini tiga mata di depan Chelsea di kedudukan kelima.-AFP