Jabatan Mufti Perak nasihat orang ramai tidak buat spekulasi tarikh 1 Syawal 1447H

Foto hiasan

IPOH, 28 Februari -Jabatan Mufti Perak menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi awal, berhubung penetapan tarikh 1 Syawal 1447 Hijrah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Takwim hisab yang diedarkan adalah panduan perancangan, bukan penetapan rasmi.
  • Penetapan 1 Syawal bergantung kepada rukyah hilal petang 29 Ramadan dan pengisytiharan berautoriti.
  • Perbezaan antara jangkaan takwim dan keputusan rasmi adalah perkara biasa dalam penentuan awal bulan Islam.
  • Kedudukan hilal dan keadaan cuaca mempengaruhi kenampakan anak bulan; tunggu pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Penjelasan itu dibuat susulan kekeliruan mengenai kemungkinan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat berbanding jangkaan takwim tahunan pada hari Sabtu.

Kenyataan rasmi Jabatan Mufti Negeri memaklumkan, takwim hijri yang diedarkan adalah berdasarkan data hisab sebagai panduan perancangan.

“Bagaimanapun, penetapan rasmi 1 Syawal tertakluk kepada proses rukyah hilal pada petang 29 Ramadan serta pengisytiharan pihak berautoriti.

“Perbezaan antara jangkaan takwim dan keputusan rasmi bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sistem penentuan awal bulan Islam,” menurut kenyataan itu.

Faktor kedudukan hilal serta keadaan cuaca turut mempengaruhi kenampakan anak bulan ketika cerapan dijalankan.

Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan supaya menunggu pengumuman rasmi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.